Peningkatan Kes, Penggunaan Kapasiti Kesihatan Di Lembah Klang Membimbangkan

KUALA LUMPUR, 1 Mei – Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati peningkatan kes dan kadar penggunaan kapasiti kesihatan di negeri dan Wilayah Persekutuan di Lembah Klang mutakhir ini adalah amat membimbangkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata sekiranya trend peningkatan kes COVID-19 itu berterusan, kapasiti kesihatan akan berada pada tahap yang kritikal dan akan memberikan impak negatif kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara keseluruhannya.

“Menurut statistik yang dilaporkan kepada CPRC Kebangsaan, kadar penggunaan katil kritikal/ICU COVID-19 terkini didapati melebihi 70 peratus di Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

“Hospital Selayang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya pula melaporkan penggunaan katil kritikal/ICU COVID-19 pada kadar melebihi 50 peratus. Ini berpunca daripada peningkatan kemasukan kes kritikal sebanyak 62 peratus berbanding tempoh dua minggu yang lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata setakat hari ini, sebanyak 108 unit ventilator diperlukan untuk pesakit-pesakit COVID-19 di Lembah Klang sahaja.

Dalam kenyataan medianya, Dr Noor Hisham berkata dalam tempoh 24 jam lepas juga, sebanyak 2,462 kes sembuh dicatat menjadikan jumlah kumulatifnya 380,442 kes manakala kes aktif kini 29,631.

Katanya sejumlah 337 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 176 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan manakala terdapat pertambahan 15 kematian menjadikan jumlah keseluruhan angka korban akibat wabak itu kini 1,521 orang.

Jelasnya terdapat 14 kluster baharu yang turut dikenal pasti hari ini melibatkan masing-masing empat kluster komuniti, kluster tempat kerja, dan kluster sektor pendidikan termasuk satu kluster institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) serta dua kluster keagamaan.

Kluster komuniti berkenaan ialah Kluster Sungai Nirai, Sarawak; Kluster Umas, Sabah; Kluster Seri Jati, Melaka dan Kluster Jalan Sepat di Perak, manakala kluster tempat kerja iaitu Kluster Jalan Garuda, Johor; Kluster Jalan Sungai Sembilang, Selangor; Kluster Jalan Kilang Dua, Sabah dan Kluster Durin, Sarawak.

Kluster keagamaan pula melibatkan Kluster Sebatu dan Kluster Air Budi di Melaka; manakala Kluster Lestari Perdana Tujuh, Selangor dan Kluster Saujana, Terengganu pula berkait dengan kategori kluster pendidikan lain; Kluster Persiaran Sinaran Ilmu, Johor (kluster pendidikan tinggi); dan Kluster Long Jegan, Sarawak (kluster institusi pendidikan KPM). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.