Integriti SPRM Terletak Pada Siasatan Ahli Parlimen Melompat… Jangan Tutup Sebelah Mata – Razlan

KUALA LUMPUR, 1 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Razlan Rafii mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kembali kepada suruhanjaya yang bebas dan berani malah jangan tunduk kepada mana-mana pihak dengan menyiasat kenyataan Ketua Polis Negara (KPN/IGP), Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Ujarnya, apabila mendengar sendiri apa yang dibangkitkan oleh Tan Sri Hamid Bador, ianya adalah satu jenayah jelas kewujudan rasuah di dalam proses lompat parti untuk beralih sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini.

“SPRM tidak boleh bertindak ibarat menutup sebelah mata melihat jenayah ini berlalu begitu sahaja.

“Melihat dari mata seorang IGP di mana wujud jenayah merasuah ahli Parlimen, bukan itu sahaja, IGP mengatakan wujud ugut mengugut bagi memastikan ahli Parlimen sebagai sasaran demi mendapatkan undi kepada PPBM, ini merupakan jenayah yang paling jijik dalam menggunakan instrumen kerajaan demi kuasa,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu terbabit.

Jelasnya, beliau masih ingat, kes Datuk Seri Anwar Ibrahim sekitar tahun 90-an yang disabitkan kesalahan hanya kerana menyalah guna kuasa sebagai Timbalan Perdana Menteri dan dipenjarakan enam tahun, kali ini kesalahan ‘salah guna kuasa’ ini lebih jijik dan terbuka apabila ramai ahli Parlimen di ugut untuk menyokong PN.

“Saya mendesak SPRM kembali kepada suruhanjaya yang bebas dan berani malah jangan tunduk kepada mana-mana pihak. Perlu berani dan telus dalam menyiasat tuduhan ini. Jangan takut dalam menjalankan amanah yang diberikan.

“Ahli Parlimen yang diugut pula, jangan jadikan diri anda sebagai bahan ketawa oleh rakyat kerana melompat demi habuan dan ugutan, beranikan diri anda untuk membongkar kezaliman ini.

“Siasatan mesti dijalankan, mustahil seorang IGP membangkitkan isu ini tanpa ada asas. Sudah pasti ianya berasas,” tegasnya lagi.

Dilaporkan, dalam sidang media terakhir Abdul Hamid dengan media di Bukit Aman, beliau mencadangkan supaya Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) tidak lagi dipengerusikan menteri, sebaliknya individu tidak berpihak seperti bekas ketua hakim atau hakim dilantik menduduki jawatan itu, malah menegaskan menteri tidak sepatutnya campur tangan dalam pengurusan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.