Kerajaan Perlu Bela Nasib Pengusaha Bas Ekspress, Gesa Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 30 April – Pengusaha bas ekspress terus dihimpit kerugian, tertekan, tidak boleh bekerja, tiada pendapatan dan itulah dilema yang dihadapi baik di pihak pengusaha mahupun pemandu, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Caknanya, keresahan dan kesedihan itu diluahkan pengusaha kepada media yang seharusnya diberikan perhatian serius oleh kerajaan.

“Masakan tidak. Sebelum hadirnya COVID-19 dua tahun lalu, tempahan tiket bas ekspress mendapat permintaan tinggi terutama menjelang Aidilfitri. Boleh dikatakan di awal Ramadan sudah ada yang menempah. Keadaannya kini berubah 360 darjah.

“Rungutan dan rintihan mereka harus didengari. Tempahan terus sepi memandangkan aktiviti rentas negeri masih tidak dibenarkan.

“Sudah dua tahun situasi sama dialami. Jika dahulunya kira-kira 5,000 hingga 6,000 bas ekspress akan beroperasi menjelang musim perayaan,” ujar Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam satu hantaran di Facebook.

Tambahnya, jika banyak tempahan pemandu beroleh pendapatan dan syarikat mendapat keuntungan.

“Ia sekaligus merancakkan ekonomi. Tetapi menjelang Aidilfitri tahun ini, apa lagi pendapatan yang mereka ada. Bagaimana mahu meraikan Lebaran di rumah?

“Jika tiada pendapatan bolehkah kerajaan salurkan sumbangan? Saya rayu,” gesanya lagi.

Tambah Ahmad Zahid, keadaan tersebut berlaku  di peringkat pemandu dan soalnya lagi bagaimana pula pengusaha?

“Mereka mati akal akibat menampung pelbagai hutang bank. Perlu difikirkan juga.

“Seingat saya pada 18 November tahun lalu saya ada bertemu Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan dan Pengusaha Bas Malaysia (GAPP Bas Malaysia). Mereka maklumkan sebanyak 10,000 agensi bas pelancongan dan pengusaha bas Malaysia berdepan bebanan hutang iaitu kira-kira RM3 bilion ekoran gagal menyelesaikan pinjaman.

“Ia disebabkan pergerakan yang terbatas dan COVID-19. Sepatutnya isu ini dibentangkan di Parlimen tetapi apakan daya, semua orang memahami,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.