COVID-19: Ledakan Kes Harian Baharu, Kes Aktif Hampir 30 Ribu

KUALA LUMPUR, 30 April – Bermula dengan hanya tiga kes positif COVID-19 pada 25 Januari 2020, Malaysia kini merekod kes kumulatif sebanyak 404,925 kes setakat 29 April 2021 sementara kes aktif dengan kebolehjangkitan menghampiri 30 ribu.

Dengan sejumlah 378 kluster masih aktif dan 83 daripadanya mencetuskan kes baharu, mungkin sukar untuk mengharapkan pandemik koronavirus maut ini dapat dibendung dalam masa yang singkat.

Sehingga pukul 12 tengah hari Khamis 29 April 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan kes harian baharu dalam negara kekal di atas paras tiga ribu, iaitu 3,332 kes, menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 28,093 kes.

Mengikut pecahan kes baharu mengikut kategori yang dikeluarkan KKM semalam, 60 peratus (1,982 kes) adalah hasil saringan kontak rapat; 25 peratus (832 kes) adalah hasil saringan lain; 11 peratus (383 kes) pula daripada kluster sedia ada dan baki, 4 peratus (126 kes) daripada kluster baharu.

Tiga buah negeri yang menyumbang kes harian baharu terbanyak semalam adalah Selangor (1,083 kes), Sarawak (522 kes) dan Kelantan (401 kes).

Pada Rabu 28 April 2021, kes harian baharu negara melebihi tiga ribu iaitu 3,142 apabila kes harian baharu Selangor meningkat empat angka iaitu 1,019 kes.
Angka kes harian baharu COVID-19 di negara ini pernah mencapai sehingga 5,725 pada 29 Januari 2021 dan sebanyak 5,728 kes pada 30 Januari 2021 dan pada 31 Januari 2021, sebanyak 5,298.

Pada ketiga-tiga hari yang disebut di atas, Selangor menyumbang jumlah tertinggi (29 Januari – 3,126 kes; 30 Januari – 3,285 kes dan 31 Januari – 2,460 kes).
Dengan 404,925 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 43 (berbanding 44 minggu lepas) dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik COVID-19. Di hadapan Malaysia adalah Arab Saudi (416,307 kes ) dan Maghribi (510,886 kes).

Lonjakan kes harian baharu sejak beberapa minggu ini membuatkan ada pihak mendakwa Malaysia kini dilanda Gelombang Keempat wabak COVID-19.

Malaysia dilanda Gelombang Ketiga COVID-19 pada 20 September 2020 dan pada tarikh itu, KKM mengumumkan terdapat 52 kes harian baharu, sementara jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 10,219 kes dan kes aktif dengan kebolehjangkitan, 734 kes.

Kes aktif dengan kebolehjangkitan di bawah Gelombang Ketiga memuncak melepasi angka 50,000 pada 6 Februari 2021 iaitu 50,894. Sepanjang tempoh Gelombang Ketiga ini, kes harian baharu pernah menurun kepada tiga angka hanya sehari iaitu pada 29 Mac, sebanyak 941 kes.

LEDAKAN KES HARIAN BAHARU

Kes harian baharu dalam negara secara konsisten berada pada paras lebih dua ribu sepanjang tempoh rangkuman mingguan Bernama (24 April hingga 29 April 2021) dan melonjak melepasi tiga ribu pada Rabu 28 April iaitu 3,142 kes dan semalam (29 April), sebanyak 3,332 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada 3,332 kes yang direkod semalam, sebanyak 3,323 kes melibatkan penularan tempatan ( 3,099 warganegara – 93.3 peratus; 224 bukan warganegara – 6.7 peratus). Baki sembilan kes adalah kes import (1 warganegara dan 8 bukan warganegara).

Untuk rekod, kes import yang dicatat sepanjang rangkuman mingguan ini adalah seperti berikut:-
24 April (26 kes – 2 WN 24 BWN), 25 April ( 10 kes – 2 WN 8 BWN ) , 26 April ( 3 kes – 2 WN 1 BWN, 27 April ( 5 kes – 3 WN 2 BWN ), 28 April ( 13 kes – 4 WN 9 BWN ) dan 29 April ( 9 kes – 1 WN 8 BWN).
*WN (warganegara) BWN (bukan warganegara)

Setakat 29 April 2021, sebanyak 1,943 kes sembuh dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes pesakit yang pulih daripada COVID-19 kini 375,340 kes (92.7 peratus).

Rekod kes harian baharu sepanjang tempoh rangkuman mingguan Bernama 24 April hingga 29 April 2021 adalah seperti berikut:-
24 April ( 2,717 kes), 25 April (2,690 kes), 26 April (2,776 kes), 27 April (2,733 kes), 28 April (3,142 kes) dan 29 April (3,332 kes).
Sementara rekod kes sembuh harian sepanjang tempoh rangkuman ini:-
24 April (2,292 kes), 25 April (1,853 kes), 26 April (1,803 kes), 27 April (2,019 kes), 28 April (1,822 kes) dan 29 April (1,943 kes).

Gelombang Ketiga melanda Malaysia pada 20 Sept 2020 dan KKM mengumumkan pada tarikh berkenaan, terdapat 52 kes harian baharu, jumlah kes positif COVID-19 sebanyak 10,219 kes dan kes aktif dengan kebolehjangkitan, 734 kes.

Kes aktif dengan kebolehjangkitan di bawah Gelombang Ketiga memuncak melepasi angka 50,000 pada 6 Februari 2021 iaitu 50,894.
R-Naught (Ro/Rt) iaitu kebolehjangkitan satu kes positif COVID-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan sepanjang tempoh rangkuman Bernama (24 April hingga 29 April 2021) secara konsistennya berada pada kadar lebih 1.0. Sebelum ini, kadar Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

BANYAK KLUSTER CETUS KES BAHARU

Sehingga Khamis 29 April 2021, Malaysia mencatat sebanyak 1,638 kluster dan 1,260 diisytihar tamat. Sebanyak 378 kluster masih aktif dan 83 daripadanya dilaporkan menambah kes baharu.

Tiga kluster yang mencatat pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster DTI Lenggeng (43 kes), Kluster Raub Jaya (38 kes), dan Kluster Jalan Adika Raja (33 kes).

Sebanyak 12 kluster baharu diumumkan semalam, melibatkan empat (4) kluster komuniti, masing-masing tiga (3) kluster institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan kluster tempat kerja, serta dua (2) kluster keagamaan.

Untuk rekod, jumlah kluster baharu dan Kluster Tempat Kerja (KTK) sepanjang 24 April hingga 29 April 2021:-

Sabtu 24 April – 10 (7 KTK); Ahad 25 April – 8 (3 KTK); Isnin 26 April – 12 (4 KTK); Selasa 27 April – 11 (3 KTK); Rabu 28 April – 12 (2 KTK) dan Khamis 29 April – 12 (3 KTK).

Satu kes KTK dilaporkan di Sarawak pada 25 April iaitu Kluster Putai, melibatkan daerah Kapit dan Bukit Mabong, hasil saringan bersasar pekerja sebuah empangan di Putai, Kapit. Sehingga 25 April, sebanyak 243 kes positif COVID-19.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) berikutnya mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan DiPerketatkan (PKPD) dikuatkuasakan bagi kawasan pembinaan Empangan Hidroelektrik Baleh, Bahagian Kapit, bermula 26 April hingga 23 Mei 2021.

Kluster Sekolah/IPKPM sepanjang Rangkuman Mingguan Bernama (24 April hingga 29 April 2021):-
24 April – 1 (WP KL); 25 April – 3 (2 Selangor, 1 Kelantan); 26 April – 2 (1 Sarawak, 1 Kelantan); 27 April – 4 (3 Selangor, 1 Pulau Pinang); 28 April – 4 (1 Sarawak, 1 Sabah, 1 Kedah, 1 Selangor) dan 29 April – 3 (1 Sarawak, 1 Kelantan, 1 Johor).

Kluster Komuniti Sepanjang Rangkuman Mingguan Bernama (24 April hingga 29 April 2021)
24 April -2 ( 1 Perak, 1 Sabah); 25 April – 1 (1 Sarawak); 26 April – 4 (1 Sarawak, 1 Pulau Pinang dan 2 Melaka); 27 April – 3 (1 Sarawak, 1 WP Kuala Lumpur, 1 Kedah); 28 April – 4 (1 Sarawak, 1 Perak, 1 Johor, 1 Kedah) dan 29 April – 4 (1 Selangor, 1 Sarawak, 1 Kelantan, 1 Pahang).
Sementara itu, Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan di Facebook peribadinya pada 29 April 2021 mengumumkan, kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 29 April 2021 untuk seluruh negara kekal 1.12. Negeri mencatat Ro tertinggi ialah Kelantan 1.24, WP Kuala Lumpur 1.23 dan Kedah 1.22.

PERINCIAN KES COVID-19 DI MALAYSIA

Berdasarkan perincian KKM mengenai 3,332 kes positif COVID-19 yang dilaporkan KKM pada Khamis 29 April 2021, Selangor mencatat kes empat angka dua hari berturut-turut. Semalam kes harian baharu di Selangor sebanyak 1,083 kes (705 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19) berbanding 1,019 kes pada Rabu 28 April 2021.

Lapan (8) negeri mencatat kes harian baharu tiga angka, iaitu Sarawak 522 kes, Kelantan 401 kes, WP Kuala Lumpur 359 kes (*9), Johor 207 kes, Pulau Pinang 158 kes, Sabah 131 kes, Negeri Sembilan 111 kes dan Kedah 105 kes.(*) merujuk kepada kes import.

Empat (4) negeri merekod kes harian baharu dua angka iaitu Pahang 92 kes, Perak 91 kes, Melaka 43 kes dan Terengganu 19 kes.
Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Perlis mencatat kes harian baharu satu (1) angka, masing-masing sembilan (9) kes dan satu (1) kes. Wilayah Perkutuan Labuan, sifar kes.

Sementara itu, sebanyak 15 kes kematian dilaporkan semalam 29 April, menjadikan kes kumulatif kematian sebanyak 1,492 kes (0.37 peratus), melibatkan 14 warganegara, 1 bukan warganegara.

Untuk rekod, kes kematian sepanjang tempoh rangkuman 24 April hingga 29 April 2021 :-
24 April – 11 (10 WN, 1 BWN); 25 April – 10 (10 WN), 26 April – 13 (12 WN, 1 BWN); 27 April – 13 (12 WN, 1 BWN); 28 April – 15 (15 WN) dan 29 April – 15 (14 WN, 1BWN).
*WN = warganegara *BWN = bukan warganegara
Sebanyak 309 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 147 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

STATISTIK GLOBAL COVID-19

Jumlah kes COVID-19 global terkini (worldometer) adalah 151,119,106 kes (rangkuman minggu lalu 145,493,666 kes) dengan 3,179,205 kematian ( minggu lalu 3,088,553 kematian). Jumlah pesakit sembuh seramai 128,511,720 orang (minggu lalu 123,507,148 orang).

Sebanyak 216 negara dilanda pandemik COVID-19 dan 10 buah negara teratas dalam kedudukan senarai ini adalah Amerika Syarikat, India, Brazil, Perancis, Rusia, United Kingdom, Turki, Itali, Sepanyol, dan Jerman.

Pecahan kes COVID-19 dan jumlah kematian adalah seperti berikut:-
Amerika Syarikat 33,044,068 kes ( 589,207 kematian),
India 18,754,984 kes (208,313 kematian);
Brazil 14,592,886 kes (401,417 kematian),
Perancis 5,592,390 kes (104,224 kematian),
Rusia 4,796,557 kes ( 109,731 kematian),
Turki 4,788,700 kes ( 39,737 kematian),
United Kingdom 4,414,242 kes ( 127,502 kematian),
Itali 4,009,208 kes (120,544 kematian),
Sepanyol 3,514,942 kes ( 78,080 kematian),
Jerman 3,373,557 kes ( 83,221 kematian).

Negara China, di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat 95 dengan 90,655 kes. Angka kematian kekal 4,636.
Di samping Malaysia, dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Indonesia, Filipina dan Myanmar turut menyertai senarai 90 buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes COVID-19.

Indonesia di tangga 18 dengan 1,662,868 kes dan 45,334 kematian. Filipina di tangga 26 dengan 1,028,738 kes dan 17,145 kematian.

Myanmar di tangga 82 dengan 142,800 kes dan 3,209 kematian. Thailand meningkat ke tangga 103 dengan 63,570 kes dan 188 kematian; Singapura di tangga 104 dengan 61,121 kes dan 30 kes kematian.

Kampuchea di tangga 143 dengan 12,641 kes dan 91 kematian; Vietnam di tangga 177 dengan 2,910 kes dan 35 kematian.

Laos di tangga 196 dengan 672 kes dan sifar kematian, sementara Brunei di tangga 201 dengan 224 kes dan tiga kematian.
————————————————————————————————————–

RUANGAN SISI
LATAR BELAKANG COVID-19
— Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.
— Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut.
— Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.
— WHO memberi nama rasmi virus “2019-nCoV” iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.
— Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.
— Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.
— Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.
— WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).
— Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.
— Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.
— Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.
— Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai COVID-19.
— Pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk. Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019).
— Di UK, varian baru COVID-19 yang dikenali sebagai B117 dilaporkan 70 peratus lebih mudah merebak. Mula dikesan pada September 2020.
— Afrika Selatan juga mengenalpasti varian baharu novel coronavirus, dirujuk sebagai “501Y.V2”. pada awal Oktober 2020. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.