Segerakan Pemberian 100,000 Dos Vaksin Tambahan – MB Johor

JOHOR BAHRU, 29 April – Kerajaan Johor berharap pemberian tambahan 100,000 dos vaksin kepada individu yang layak berulang-alik ke Singapura dapat disegerakan dan tidak tertakluk kepada tarikh pembukaan sempadan Malaysia-Singapura.

Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata ini kerana persiapan ke arah untuk mendaftarkan mereka yang layak sudah dibuat menerusi pembangunan laman web Johor Immunity Planning System (IMMU Plan).

Katanya IMMU Plan dikhususkan untuk golongan yang memenuhi syarat seperti permit kerja sah di Singapura, surat majikan yang menunjukkan mereka memang bekerja di repubilik itu atau mendapat tawaran bekerja.

“Ini adalah satu usaha kerajaan negeri. Oleh itu, sama ada pintu sempadan dibuka dalam masa terdekat ataupun mengambil masa, kita harapkan pemberian 100,000 dos vaksin ini akan terus dilakukan, selain turut berharap mereka akan diurus menerusi pusat-pusat pemberian vaksin sedia ada,” katanya.

Hasni berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau hari pertama fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Negeri Johor membabitkan warga emas di Pusat Pemberian Vaksin Dewan Muafakat Johor Adda Height, di sini hari ini.

Beliau berkata pendaftaran untuk vaksin tambahan itu boleh dibuat bermula sekarang menerusi www.immuplan.my dan maklumat yang disalurkan akan diintegrasikan dengan aplikasi MySejahtera.

“Notifikasi untuk terima vaksin ini akan dimaklumkan di MySejahtera dan saya yakin tidak akan ada pihak yang cuba salah guna dengan memberikan maklumat-maklumat palsu kerana sudah terdapat beberapa kriteria ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, ditanya tentang pertemuan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatannya Lee Hsien Loong yang dijangka berlangsung awal bulan depan, Hasni berharap agar isu-isu berkaitan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura dapat dibincangkan.

“Yang utama sudah tentu mengenai pembukaan sempadan dan kita juga ada isu-isu tertangguh. Contohnya berhubung Skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) yang ditangguhkan Singapura, pihak kerajaaan telah mencadangkan ia agar dibuka semula.

“Selain itu, kita berharap jumlah mereka yang dibenarkan berulang-alik menerusi Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) yang dikurangkan daripada 2,000 kepada 400 orang, dapat dikembalikan kepada angka asal.

“Ini kerana kita sudah ada persiapan, makmal yang cukup, tenaga pakar kesihatan cukup. jadi untuk uruskan seramai 2,000 orang atau lebih, kita tidak menghadapi sebarang masalah,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.