Salam Nuzul Al-Quran: Pertingkat Amal Ibadah, Ikhlaskan Kebaikan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 29 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak umat Islam untuk pertingkatkan segala amal ibadah bersempena dengan Nuzul Quran.

Katanya, ikhlaskan setiap kebaikan yang dilakukan dan dikerjakan.

“Semoga Allah menerima segala amal ibadah yang kita laksanakan dan makbulkan segala doa yang kita hajatkan,” katanya dalam kenyataan bersempana Nuzul Quran melalui laman facebooknya, malam tadi.

Dalam masa yang sama beliau turut menyertakan petikan iaitu:

“Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan atau mengetahuinya, maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dengan ketetapan yang demikian itu Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadan, dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”.
(Surah Al-Baqarah Ayat 185).

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada kitab Allah Al-Quran dan Sunnah RasulNya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, dan lebih elok pula kesudahannya”.
(Surah An-Nisa Ayat 59).

Abdullah bin Mas’ud menyatakan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa membaca satu huruf daripada al-Quran maka dia melakukan satu kebajikan. Dan satu kebajikan itu dilipatgandakan sepuluh kali. Saya tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, melainkan Alif itu satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”
(Sunan Tirmizi) – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.