Fasa Kedua Program Imunisasi Johor Libatkan 600,000 Individu

JOHOR BAHRU, 29 April – Pelaksanaan fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Negeri Johor yang bermula hari ini akan melibatkan seramai 600,000 individu termasuk golongan warga emas.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata pemberian suntikan vaksin berkenaan akan dibuat di 21 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) disediakan meliputi sembilan fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) dan 12 lagi fasiliti awam lain.

Katanya dengan fasiliti sedia ada itu, kerajaan negeri dijangka mampu memberi suntikan kepada 4,000 orang sehari.

“Setakat ini, kaedah pengurusan tersusun dan KKM tidak menghadapi sebarang masalah berhubung petugas di mana penglibatan sukarelawan turut digalakkan dalam fasa kedua ini untuk membantu masyarakat yang berada di PPV.

“Jadi, kami akan teruskan usaha ini bagi memastikan mereka yang sepatutnya menerima vaksin akan dimaklumkan tentang tarikh dan masa mereka menerima vaksin berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas meninjau hari pertama fasa kedua program itu di PPV Dewan Muafakat Johor Adda Height di sini, hari ini.

Beliau berkata bagi fasa pertama yang lepas, sebanyak 90 peratus daripada 35,100 petugas barisan hadapan di negeri ini telah selesai diberi suntikan manakala baki selebihnya akan disempurnakan pada fasa kedua ini.

“Mereka yang belum menerima vaksin ini disebabkan beberapa kekangan antaranya masa dan kesesuaian tempat tetapi kami akan teruskan suntikan mereka pada fasa kedua ini,” katanya.

Tambah beliau, setakat ini, seramai 41 peratus atau 1.1 juta daripada 2.9 juta penduduk Johor yang layak mendapatkan vaksin imunisasi COVID-19 sudah berdaftar di aplikasi MySejahtera.

Sementara itu, seorang warga emas, Liew Siew Keng, 90, yang ditemui pemberita pada program berkenaan berkata dia tidak berasa takut untuk menerima vaksin kerana mendapat galakan daripada anak-anaknya.

“Semuanya okay. Cuma rasa seperti kena gigit semut sahaja, malahan jururawat yang memberikan suntikan juga melakukannya dengan baik tanpa mengundang rasa sakit. Vaksin ini mesti kena ambil untuk membolehkan kita kekal sihat,” katanya.

Seorang lagi warga emas, Tengku Zohoriah Zainuddin, 90, berkata dia bersetuju mengambil vaksin berkenaan kerana merasakan ia satu keperluan apabila merentas negeri dibenarkan kelak.

“Saya ada seorang anak lelaki yang menetap di Kuala Lumpur, jadi saya setuju ambil bagi memudahkan pergerakan pada masa depan. Sebenarnya tidak ada apa yang perlu ditakutkan. Saya sendiri pun pada mulanya cemas tetapi setelah diberi suntikan, tiada rasa sakit pun,” tegasnya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.