537,996 Individu Terima Dua Dos Vaksin Setakat Semalam – Dr Adham

KUALA LUMPUR, 29 April – Sebanyak 537,996 individu telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau menerusi akaun Twitter hari ini berkata bagi tempoh sama, sebanyak 871,219 individu telah menerima dos pertama sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 1,409,215 dos.

Menerusi satu infografik yang dikongsikan, Dr Adham berkata lima negeri yang menerima suntikan dos pertama tertinggi ialah Selangor dengan 116,450 dos, diikuti Kuala Lumpur (89,659), Sarawak (88,921), Johor (76,604) dan Sabah (70,520).

Lima negeri tertinggi yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam pula ialah Selangor dengan 73,608 dos, diikuti Sarawak dengan 55,258, diikuti Perak (51,825), Kuala Lumpur (49,277) dan Sabah (49,264).

Menurut Dr Adham, setakat semalam hanya 38.60 peratus atau 9,365,711 daripada golongan sasaran telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor mencatat jumlah pendaftaran tertinggi sebanyak 2,432,751 pendaftaran.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga bulan ini melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan.

Fasa kedua bermula pada April hingga Ogos pula membabitkan 9.4 juta termasuk warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya, manakala fasa ketiga yang dijadual pada Mei hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.