Rakaman Audio Mirip Menteri Perlu Disiasat Ketulenan, Libatkan Integriti – Adnan Seman

KUALA LUMPUR, 28 April – Timbalan Ketua UMNO Bandar Tun Razak, Datuk Adnan Seman berpandangan audio perbualan mirip suara Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkaitan perlantikan jawatan di dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu disiasat ketulenannya.

Menurut beliau selepas tersebar audio mirip suara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini, kini tersebar pula audio suara perbualan berkenaan.

“Ketulenan dan perkara yang dinyatakan di dalam audio terbaharu ini perlu disiasat kerana ianya melibatkan perkara yang sangat serius iaitu berkaitan kononnya ada campur tangan menteri berhubung pelantikan jawatan dalam PDRM.

“Sekiranya ianya tulen maka perkara ini sangat serius dan mempunyai implikasi besar kepada integriti badan penguatkuasa seperti PDRM dan ianya melibatkan penyalahgunaan kuasa seorang menteri,” katanya menerusi catatan di facebooknya berkaitan isu ini.

Tambah Adnan lagi, ianya juga berkaitan pencerobohan kepada privasi perbualan antara dua individu dan jika audio itu benar bayangkan perbualan melibatkan Menteri Dalam Negeri juga boleh diceroboh dan dirakam, maka kepercayaan rakyat biasa terhadap tahap kerahsiaan dan privasi perbualan telefon masing-masing juga akan hilang.

Dalam pada itu, berhubung isu kompaun pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) COVID-19, beliau berpandangan pihak Kementerian Dalam Negeri dan PDRM perlu berbincang serta menasihatkan anggota PDRM agar menggunakan budi bicara mereka mengikut kesesuaian dan keadaan.

“Sebagai contohnya abang burger yang dikompaun RM50 ribu kerana masih menghabiskan memasak burger di tepi tangga rumah selepas tempoh yang dibenarkan sewajarnya diberikan amaran untuk berhenti dan kemaskan barang-barang niaga.

“Tindakannya tidaklah membahayakan kesihatan orang lain berbanding mereka yang tidak memakai pelitup muka di kawasan yang dipenuhi oleh ramai orang seperti bazar, pasaraya dan lain-lain.

“Ketegasan perlulah wajar, bertempat dan tidak ‘double standard’. Matlamat utama undang-undang dan penetapan SOP adalah untuk mengekang penularan COVID-19 dan bukannya menghukum semata-mata. Undang-undang bukan sahaja dilaksanakan tetapi mesti dilihat dilaksanakan,” ujarnya lagi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.