Peniaga Colek Pula Dikompaun RM50,000… Jangan Sampai Kerajaan Dilabel Zalim – Ahmad Zahid

KUALA LUMPURM 28 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahamd Zahid Hamidi melahirkan rasa tidak faham dengan kerajaan hari ini ekoran terlalu banyak isu ketika ini sebagaimana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) diputar belit, kakitangan kerajaan diminta wakaf pendapatan dan kali ini rakyat pula dikompaun sehingga RM50,000.

Lantas soal beliau, apa akan terjadi seterusnya?

“Fahamilah denyut nadi rakyat. Sudahlah pengangguran tinggi, ekonomi meleset dan kali ini rakyat pula yang dihukum.

“Jangan sampai suatu hari nanti kerajaan dilabel sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan. Pada waktu itu susah semuanya,” katanya dalam satu hantaran di laman facebooknya berikutan laporan media terbaharu berkaitan peniaga colek turut dikenakan kompaun dengan jumlah RM50,000 sedangkan kisah peniaga burger dikenakan jumah yang sama belum pun reda.

Respon beliau, nampaknya semakin parah pihak penguatkuasa dan kerajaan pada hari ini apabila rakyat terus dijadikan sasaran apabila dikompaun pada jumlah yang tinggi kononnya melanggar SOP COVID-19 ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Adakah hanya peniaga colek dan peniaga burger sahaja yang lewat tutup dikenakan tindakan yang sedemikian?.

“Bagi peniaga burger, kompaun yang dikenakan adalah kes berulang manakala peniaga colek ia adalah kesalahan pertama. Memadaikah mahu menghukum rakyat sebegitu rupa kerana mereka adalah peniaga kecil-kecilan, bukannya penjenayah mahupun pemilik premis judi atau pemilik pusat hiburan?.

“Peniaga colek, kisahnya sama iaitu wujud dakwaan mereka beroperasi melebih had masa di perkarangan rumah. Saya meletakkan diri di tempat mereka, memang amat terkejut apabila menerima kompaun yang terlalu tinggi sedangkan pendapatan tidak sampai RM100 sehari.”

Soalnya, adakah pelanggan yang datang ke gerai mereka berpusu-pusu atau berasak-asak?.

“Sehinggakan keluar kenyataan daripada peniaga jika kompaun dikurangkan sehingga RM10,000 pun mereka tidak mampu dan lebih rela memilih untuk dipenjarakan. Adakah itu yang kerajaan mahukan dalam membela nasib rakyat?

“Saya merasakan ia tidak patut apatah lagi sekitar jam 10 malam peniaga sudah menutup kedai dan hanya bahagian dapur dibuka. Lagipun ketika itu mereka sedang menggoreng keropok untuk anak-anak.

“Jika penguatkuasaan ini masih diteruskan saya minta hentikanlah dan jangan membuli atau mendera rakyat. Jika kerajaan tidak membantu mereka dalam situasi yang sukar berdepan pandemik ini, siapa lagi yang boleh menolong mereka,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.