Jumlah Kompaun Tak Masuk Akal, Peniaga Kecil Jadi Mangsa… Di Mana Nilai Perikemanusiaan

KUALA LUMPUR, 28 April – Darurat ini sepatutnya untuk menurunkan kes jangkitan COVID-19 bukannya menekan rakyat dengan jumlah kompaun yang tidak masuk akal, bidas Pengerusi Dewan Perniagaan Kecil Luar Bandar Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris.

Soalnya, di manakah nilai perikemanusiaan jika peniaga kecil seperti yang terjadi baru-baru ini dikompaun sebegitu rupa.

“Jika perkara ini berterusan lagi, saya lihat tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) meminda Akta 324 yang dikatakan untuk mengurangkan penularan COVID-19 terbukti gagal.

“Tiada beza kerajaan PN dengan Pakatan Harapan (PH) jika terus menekan rakyat. Lebih teruk, Menteri UMNO akan mendapat nama yang buruk kerana kegagalan kerajaan yang dipimpin oleh Bersatu ini.

“Lepas ini mungkin kita dengar Mak Cik Kiah yang menjual goreng pisang pula dikompaun RM 50,000,” sinisnya lagi dalam satu hantaran di facebook.

Dr Najmil yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia melahirkan simpati dengan nasib peniaga colek, Mohd Azizi Mohd Nor yang dikenakan kompaun RM50,000 kerana beroperasi lebih masa.

“Sebelum ini, rakyat ditekan dengan kompaun RM 10,000 kini ditambah menjadi RM 50,000.

“Saya nak tanya kepada kerajaan PN dan agensi penguatkuasaan, rakyat nak bayar kompaun ini guna duit i-Sinar ke?” soalnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.