SMK CBN Simbolik Cerita Malaysia, Pendidikan Bukan ‘Streo-type’ Untuk Semua Sekolah – Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 27 April – Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas (SMK CBN) seharusnya dijadikan tapak warisan negara seiring dengan sejarah dan jasanya dalam bidang pendidikan kerana Malaysia perlukan kepelbagaian dalam kecemerlangan dan bukan ‘streo-type’ dan model yang sama untuk semua sekolah.

Jelas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ini kerana sejak keberadaan sekolah yang berusia 120 tahun itu ianya banyak memberi bakti dalam memberi pendidikan tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.

“SMK CBN adalah cerita terbaik Malaysia, ia adalah sebuah institusi pendidikan unggul dan penting negara.

“Adalah wajar untuk dijadikan sebagai khazanah nasional. Begitu juga Victoria Institition, Perang Free School, St Joseph Kuching dan pelbagai lagi sekolah sepertinya. Agar tidak timbul lagi, 60 tahun akan datang persoalan tentang status tanah dan pemilikannya.

“Pelanjutan pajakan kerajaan adalah tindakan yang betul. Tetapi yang lebih baik ialah mengekalkan SMK CBN agar menjadi institusi pendidikan yang abadi dan selamanya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga bekas Menteri Pengajian Tinggi turut mengambil contoh langkah yang dilakukan oleh kerajaan England dalam menguruskan sekolah-sekolah bersejarah di negara itu.

“Di England, sekolah seperti Eton, Harrow, The Kings’s school at Canterbury dan Cheltelham Ladies Collage adalah sekolah yang beratus-ratus tahun usianya dan kekal berprestij.

“Terpelihara, tersanjung dan terhebat dalam kelas pendidikan terbaik. Tiada nilai pajakan kepada semua ini yang ada adalah sumbangan demi sumbangan kepada kebaikan umum,” ujarnya.

Katanya lagi, di Malaysia pelbagai sekolah yang diasaskan oleh para mubaligh Kristian dan pemerintah Inggeris yang telah berjaya mendidik pelbagai lapisan masyarakat.

“Sebelum merdeka, sekolah tersebutlah tempat menuntut ilmu dan melahirkan pemimpin nasional. Peranan itu terus digiatkan dalam konteks Malaysia moden.
Malaysia mesti memelihara institusi unik seperti ini.

“Tidak perlu di milik kerajaan atau diambil alih pentabirannya. Yang Malaysia perlukan ialah kepelbagaian dalam kecemerlangan dan bukan streo-type dan model yang sama untuk semua sekolah,” jelas beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.