Peniaga Burger Kompaun RM50,000: Rakyat Marhaen Terus Kena Tindakan, Golongan Kayangan Pelbagai Alasan

KUALA LUMPUR, 27 April – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hairan berhubung penguatkuasaan prosedur operasi standad (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila melibatkan rakyat marhaen kerajaan tidak bercakap banyak dan terus memberikan kompaun.

Tetapi katanya apabila melibatkan golongan kayangan atau artis berkahwin, pelbagai alasan diberikan.

“Antaranya kompaun masih belum dapat dikenakan, kertas siasatan sedang disiapkan, kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan sebagainya.

“Hakikatnya, kita melihat golongan kayangan dan artis secara jelas melakukan pelanggaran SOP tetapi tindakan amat lambat.

“Bila dikatakan double standard, kerajaan pula marah rakyat,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid berkata demikian merujuk kepada laporan media mengenai seorang peniaga burger di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu, Kelantan dikompaun RM50,000 pada jam 11.20 malam.

Kompaun berkenaan dikenakan kerana peniaga didakwa beroperasi melebihi jam 10 malam ketika Kelantan melaksanakan PKP bagi mengekang penularan COVID-19.

“Bagaimanapun saya tertanya-tanya adakah burger yang dijual peniaga berharga RM300 sebiji sehingga menyebabkan dia dikompaun sebegitu banyak.

“Berdasarkan pengakuan peniaga, Wan Mohd Faisal Wan Kadir, dia sekadar beroperasi di hadapan rumah. Dan ketika itu tiada seorang pun pelanggan.

“Peniaga hanya menyiapkan pesanan burger yang akan dihantar ke kilang berdekatan. Peniaga akui memang benar dia belum menutup kedai tetapi meja tidak dibuka untuk kehadiran pelanggan. Dia hanya berseorangan,” ujar Ahmad Zahid yang amat simpati dan kecewa atas kejadian tersebut.

Ahmad Zahid juga terfikir bagaimana peniaga mahu membayar kompaun tersebut sedangkan berniaga burger itu sahaja pekerjaan yang dilakukannya.

“Kenapa pihak berkuasa sekejam itu? Lagipun dalam situasi PKP di Kelantan apa lagi pekerjaan lain yang boleh dilakukan ditambah pula tempoh masa yang terhad.

“Betul. Kes melibatkan peniaga ini adalah kes berulang dan dia pernah dikompaun RM1,000 atas kesalahan sama ketika PKP sebelum ini. Tetapi untuk kesalahan seterusnya adakah wajar kompaun RM50,000 dikenakan ke atas rakyat biasa?

“Ukurlah kemampuannya,” katanya lagi.

Berhubung perkara tersebut, Ahmad Zahid mengucapkan terima kasih kepada Pemuda UMNO Kelantan yang tampil menawarkan bantuan guaman untuk membantu Wan Mohd Faisal bagi rayuan pengurangan kompaun yang dikenakan. – UMNO ONLINE