Kenyataan Seolah Salahkan BN & PM Ke-6 … Menteri PN Pandai Bermain Propaganda

KUALA LUMPUR, 27 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan kenyataan Menteri Kewangan Perikatan Nasional (PN) yang dilihat seolah-olah mahu menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri (PM) ke-6 disebalik kegagalan menguruskan kewangan negara.

Katanya, jika benar kenyataan yang seolah-olah menyalahkan kerajaan BN dan PM ke-6 itu daripada beliau, nampak gaya Menteri Kewangan PN sudah pandai bermain propaganda dan persepsi politik.

“Maka apa lagi yang tinggal dalam kerajaan PN yang boleh diharapkan rakyat dan negara selain daripada permainan mempertahankan kuasa dan gambar kayuh basikal.”

Maklum Ahmad Zahid, konon kerajaan PN terpaksa menjarah dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) walaupun selepas begitu banyak wang dan aset negara peninggalan kerajaan BN ‘ditarah’ atau dijual adalah disebabkan 1MDB.

“Tindakan beliau itu mengejutkan rakyat. Adakah kenyataan itu benar-benar daripada beliau atau ada pihak menyediakan skrip untuk dibaca di hadapan pemberita yang dipelawa ke kementeriannya?

“Kita ragu-ragu kerana rakyat maklum kerajaan PN didominasi oleh bekas pemimpin kerajaan PH yang sebelum ini siang malam ‘bersajak’ menyalahkan kerajaan BN, PM ke-6 dan 1MDB dalam segenap isu.

“Namun jika benar kenyataan itu memang daripada Menteri Kewangan, ia sesuatu yang tidak baik oleh beliau untuk mempertahankan keputusan kerajaan PN dengan cara begitu. Yang kemudian disambut dan disebar luaskan oleh tentera siber bernilai RM40.5 juta di media sosial pada bulan Ramadan bulan yang mulia ketika ini,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu terbabit, hari ini.

Soalnya, mungkinkah ia cuma satu lagi strategi untuk mengalih perhatian rakyat?

“Saya rasa tidak perlu saya ulas dakwaan Menteri Kewangan itu. Tohmahan itu telah pun dijawab secara berfakta oleh PM ke-6. 1MDB tiada kaitan dengan kegagalan kerajaan PN mentadbir kewangan negara.

“Ia kerana persoalan terpenting adalah kerajaan PN telah mengumumkan penggunaan wang negara yang besar untuk membendung Covid-19 sebelum ini.”

Katanya yang juga Pengerusi BN, Kerajaan PN pernah memaklumkan RM3 bilion wang negara diperuntukkan dalam Bajet 2021 mencukupi bagi perolehan vaksin untuk lebih 22.4 juta orang, dan kerajaan PN ketika itu memberi amaran kepada mana-mana rakyat yang mendakwa peruntukan RM3 bilion itu tidak mencukupi akan dikenakan tindakan undang-undang.

“Tidak lama selepas itu kerajaan PN umum meningkatkan lagi peruntukan untuk pelaksanaan vaksin Covid-19 di negara ini kepada RM5 bilion.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.