Mungkir Janji Gagal Bekal Hanya 150,000 Unit Peranti: Bukti Kerajaan Gagal Sepenuh-penuhnya

KUALA LUMPUR, 26 April – Sebuah kerajaan yang mungkir janji sendiri untuk membekal cuma 150,000 unit peranti pada masa yang tepat dan akibatnya menghalang 150,000 murid miskin untuk teruskan pendidikan mereka adalah sebuah kerajaan yang terbukti gagal sepenuh-penuhnya.

Demikian tegas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berhubung bantuan 150,000 unit peranti bagi murid-murid golongan B40 yang telahpun dilulus dalam Bajet 2021 pada Disember tahun lalu.

Katanya, kerajaan berjanji untuk mempercepatkan ke bulan Februari tahun ini kerana keperluan mendesak bagi murid-murid sekolah yang perlu menjalani pendidikan di rumah akibat COVID-19 (COVID).

“Tapi diumum kerajaan semalam bahawa bantuan ini hanya akan diberi sepenuhnya pada akhir bulan September! Ketika ini, sekolah-sekolah seluruh negara bergilir ditutup semula. Seluruh negeri Kelantan dikenakan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sekali lagi.

“Melihat keadaan COVID yang masih tinggi dan semakin banyak jumlah kluster-kluster pendidikan diumum walaupun sudah tiga setengah bulan melaksanakan darurat, ianya tidak mustahil bahawa semua sekolah seluruh negara akan diarahkan untuk tutup semula dan semua pelajar disuruh untuk menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) sekali lagi.

“Masa itu, kerajaan nak murid miskin ikut PdPR pakai apa? Soal Ahli Parlimen Pekan itu dalam satu hantaran di Facebook.

Timbul persoalan ulas Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), dalam keadaan ekonomi yang terjejas teruk, harga barang dapur yang naik mencanak dan ramai menganggur atau pendapatan mereka yang banyak berkurang, adakah kerajaan fikir bahawa keluarga miskin ada kelebihan wang RM1,000 untuk membeli tablet untuk anak-anak mereka.

“Sebab itu, kerajaan PN (Perikatan Nasional) tidak boleh ego.

“Janganlah terus mementingkan dan berharap pada kontaktor terpilih yang telah terbukti gagal memenuhi jadual.

“Buatlah open tender serta-merta supaya semua supplier dalam Malaysia berpeluang untuk membekal dan menghantar kesemua 150,000 unit kepada keluarga miskin dengan serta merta,” cadangnya.

Jelasnya, jika dibuat open tender tetapi kosnya didapati sehingga 30% lebih tinggi, ia bermaksud bajet hanya akan naik RM45 juta dari RM150 juta ke RM195 juta.

“Masih berbaloi. Ada kemungkinan kos akan kurang dari RM150 juta pun jika dibuat open tender.

“Apakah kenaikan kos RM45 juta ini apabila dibandingkan dengan nilai untuk masa depan 150,000 murid miskin? Soalnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.