Malaria: Malaysia Perluas Fokus Kepada Zoonotik

PUTRAJAYA, 26 April – Malaysia akan memperluaskan fokus kepada malaria berkaitan jangkitan haiwan (zoonotik) susulan kejayaan mencapai sasaran sifar malaria manusia jangkitan tempatan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata sasaran sifar kes jangkitan malaria manusia jangkitan tempatan itu berjaya dicapai di seluruh negara untuk tiga tahun berturut-turut sejak 2018 hingga 2020.

“Walaupun dengan cabaran pandemik COVID-19, Malaysia meneruskan usaha khususnya dalam eliminasi malaria,” katanya dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Kebangsaan 2021 di sini hari ini.

Untuk rekod, jumlah kes malaria di negara ini berjaya dikurangkan daripada 250,000 kes setahun pada 1961 kepada 12,000 pada 2000.

Dr Adham berkata kes malaria terus mencatatkan penurunan pada 2017 iaitu 85 kes seterusnya sifar pada 2018 hingga 2020.

Berikutan kejayaan mengekalkan status sifar malaria manusia jangkitan tempatan selama tiga tahun berturut-turut itu, Dr Adham berkata Malaysia layak memohon Pensijilan Eliminasi Malaria daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kelayakan penerimaan sijil ini bermakna langkah pencegahan yang dijalankan Kementerian Kesihatan adalah tepat dan perlu diperkasakan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.