Bazar Aidilfitri Di Melaka Dibenar Beroperasi Hingga 2 Pagi

MELAKA, 25 April – Kerajaan negeri Melaka hari ini memberi ‘lampu hijau’ kepada peniaga bazar Aidilfitri untuk beroperasi hingga pukul 2 pagi bermula hari ini.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali ketika mengumumkan perkara tersebut bagaimanapun mengingatkan penganjur, peniaga dan pengunjung agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam usaha bersama mengekang penularan COVID-19.

Beliau berkata perkara itu diputuskan kerajaan negeri hasil keputusan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Jumaat lepas, yang kini membenarkan bazar Aidilfitri di seluruh negara beroperasi hingga pukul 2 pagi berbanding 12 tengah malam, berkuat kuasa semalam.

Sulaiman berkata ketetapan waktu operasi itu juga bergantung kepada keputusan MKN dari semasa ke semasa berdasarkan jumlah penularan kes baharu.

“Jadi ia boleh dibatalkan pada bila-bila masa jika didapati pelanggaran pematuhan SOP atau kes meningkat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bazar Ramadan Mega 2021 di Tapak Dataran MITC di sini malam tadi.

Mengakui khuatir dengan kebenaran penambahan waktu operasi bazar Aidilfitri, Sulaiman menggesa semua pihak mematuhi SOP pada setiap masa memandangkan jumlah kes di Melaka semakin meningkat.

“Bukan saja di bazar (Aidilfitri) tetapi juga di pasar Ramadan kerana saya tidak mahu apa yang berlaku di sesetengah negeri yang terpaksa membatalkan penganjuran akibat peningkatan kes, berlaku juga di Melaka.

“Sebab itu saya tekankan agar penganjur, peniaga dan pengunjung sentiasa menitikberatkan SOP,” katanya.

Sementara itu, penganjuran Bazar Ramadan Mega 2021 kali ini disertai 270 peniaga yang telah mendaftarkan diri untuk menjalankan aktiviti perniagaan pada tahun lepas namun terpaksa dibatalkan walaupun sudah membayar deposit.

Kata Sulaiman, dengan penganjuran terbesar di negeri ini, usahawan yang terjejas pada tahun lepas dapat kembali berniaga sekali gus menjana pendapatan yang sebelum ini terjejas akibat pandemik berkenaan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.