Sungai Rambai Di Jasin Masih Kekal Sebagai Daerah Kecil – Idris Haron

MELAKA, 24 April – Sungai Rambai di Jasin masih kekal diwartakan sebagai daerah kecil di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan dakwaan bahawa daerah itu telah ‘hilang’ atau dimansuhkan adalah tidak berasas.

Exco Pembangunan Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau negeri Datuk Seri Idris Haron berkata operasi semua jabatan dan agensi kerajaan negeri, persekutuan dan swasta yang menawarkan perkhidmatan kepada rakyat di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di daerah kecil itu, yang sebelum ini dihentikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga sedang digerakkan semula oleh kerajaan negeri di bawah PN.

“Baru-Baru ini tular di media sosial tentang tindakan pihak menaikkan satu tugu yang bertulis #daerahyanghilang dipercayai di kawasan berhampiran daerah kecil itu dan saya telah ditanya banyak pihak mana pergi daerah itu?

“Sebenarnya tiada daerah yang hilangpun… kalau ada pun, ia berlaku pada zaman PH yang mana status daerah kecil Sungai Rambai cuba ditolak atau dimansuhkan ketika 22 bulan PH mentadbir Melaka,” katanya kepada pemberita selepas Program Sumbangan Ramadan Al-Mubarak dan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang di sini hari ini.

Dua hari lepas, tular di media sosial gambar sebuah tugu bertulis #daerahyanghilang selain dakwaan agensi yang menawarkan perkhidmatan kepada rakyat tidak lagi beroperasi di RTC Sungai Rambai.

Mengulas lanjut, Idris berkata usaha memansuhkan status Sungai Rambai sebagai daerah kecil bagaimanapun tidak berhasil apabila permohonan itu dibatalkan Kerajaan Negeri Melaka di bawah PN selepas berjaya mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka pada Mac tahun lepas.

“Semua jabatan dan agensi yang pernah beroperasi di RTC daerah itu akan dibuka semula secara berperingkat dan ia mengambil sedikit masa kerana melibatkan aspek penempatan pegawai dan sebagainya,” katanya.

Beliau juga berkata tindakan pihak tertentu menaikkan tugu itu sebagai tanda protes adalah tidak relevan atau berasas kerana ia tidak ada kaitan dengan kerajaan PN dan sepatutnya dinaikkan ketika pentadbiran kerajaan PH.

Terdahulu, Idris berkata 1,000 penduduk yang kurang bernasib baik di DUN Sungai Udang menerima bantuan berupa barangan keperluan asas seperti beras dan minyak serta kurma dan wang tunai melibatkan peruntukan berjumlah RM150,000.

“Setakat ini, sebanyak 850 penduduk telah menerima bantuan berkenaan dan bakinya akan diserahkan secara berperingkat dalam masa terdekat.

“Bantuan ini diharap dapat membantu meringankan beban penerima khususnya dalam bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.