Pindaan Akta KWAN Contoh Tiada Semak Dan Imbang Di Parlimen -Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 24 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiba-tiba sahaja rakyat diberitahu kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah meluluskan pindaan ke atas Akta Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 1988 (Akta 339).

Menurut beliau kerajaan PN menggunakan kuasa Ordinan Darurat meminda akta itu bagi membolehkan kerajaan PN menggunakan dananya yang berjumlah RM16 bilion.

“Pindaan ke atas Akta KWAN 1988 dibuat tidak berapa lama selepas kerajaan PN mewartakan dalam Ordinan Darurat kerajaan PN dibenar menggunakan dana negara tanpa kelulusan Parlimen atau dalam erti kata lain seperti yang banyak ditafsirkan oleh ramai pihak adalah penggunaan wang negara secara bebas dan sesuka hati, https://www.freemalaysiatoday.com/…/peguam-bimbang…/

“Dana KWAN dana yang dikumpul oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama sebagai sumber pendapatan berterusan dan stabil untuk rakyat serta negara. Dana itu diperoleh daripada sumbangan pihak yang terlibat dalam sumber alam semulajadi negara yang boleh menyusut seperti Petronas,” katanya menerusi catatan di Facebook, di sini, hari ini.

Tegas Ahmad Zahid, dalam bahasa mudah KWAN ibarat tabung simpanan negara yang digelar sebagai ‘white knight’ ekonomi Malaysia.

“Kini wang itu juga bakal diambil kerajaan PN dengan alasan untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi COVID-19. Jika benar dana KWAN memang benar-benar diperlukan untuk memerangi pandemik COVID-19 tidak mengapa, tetapi yang menimbulkan persoalan bukankah sudah banyak wang negara diperuntukan untuk tujuan itu sebelum ini?

“Bukankah kerajaan PN pernah memaklumkan RM3 bilion wang negara yang diperuntukkan dalam Bajet 2021 mencukupi bagi perolehan vaksin? Dan kerajaan PN ketika itu memberi amaran kepada mana-mana rakyat yang mendakwa peruntukan RM3 bilion itu tidak mencukupi akan dikenakan tindakan undang-undang, https://www.sinarharian.com.my/…/Tuduhan-kerajaan-bayar…,” ulasnya.

Ulasnya lagi, kemudian tidak lama selepas itu kerajaan PN umum meningkatkan lagi peruntukan untuk pelaksanaan vaksin COVID-19 di negara ini kepada RM5 bilion.

“Kini wang negara dalam KWAN pula mahu digunakan selepas banyak aset negara dijual, manakala kadar keberhutangan negara ditambah.

“Kita khuatir keadaan ini boleh menimbulkan kemarahan dan syak wasangka serta curiga dalam kalangan rakyat. Apapun ini antara akibat Parlimen digantung. Tiada proses semak dan imbang dilakukan terhadap perbelanjaan wang negara oleh kerajaan PN. Bagaimana perinciannya, kewajarannya dan segalanya,” tegasnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.