Kompaun dan Kompaun… Asas Sebenar Vaksinasi – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 24 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sejak minggu lalu sehinggalah kelmarin negara disajikan dengan laporan berhubung pelbagai kes yang melibatkan rakyat marhaen dikompaun antaranya pihak pengurusan Masjid Sri Maulana di Pahang dikompaun RM10,000 kerana dikatakan tidak mematuhi SOP pencegahan COVID-19.

Malah kata beliau lagi Isnin lalu enam penuntut Kolej Matrikulasi Perak dikompaun RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka dengan meletakkannya di bawah dagu dan lebih menarik perhatian netizen apabila pasangan suami isteri instafamous didenda RM2,500 dan penjara sehari kerana memberikan maklumat palsu berhubung aktiviti rentas negeri.

Manakala PDRM pada Isnin lalu tambahnya  turut mencadangkan kompauan dikenakan ke atas pihak sekolah sekiranya wujud kluster baharu jika mengabaikan SOP COVID-19 dan umumnya tertanya-tanya bagaimana seorang guru boleh mengawal 30 hingga 40 murid dalam satu masa?

“Persoalannya di sini sehingga bila mahu mengenakan kompaun pada rakyat jelata. Tambah-tambah lagi dalam situasi sukar yang memperlihatkan kelembapan ekonomi. Melibatkan rakyat semuanya boleh diambil tindakan tetapi golongan kayangan tidak mengapa. Begitukah?

“Kenapa perlu berlaku ‘double standard’ pada rakyat. Pokok pangkal permasalahan ini adalah kelewatan program vaksinasi secara menyeluruh. Jadi, isu vaksin ini siapa yang perlu dikompaun? Segerakanlah pemberian vaksin pada semua. Ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan penularan kes. Bukankah berbilion ringgit sudah dihabiskan untuk membeli vaksin? Dan saya dimaklumkan ada pertambahan peruntukan bagi tujuan itu. Jadi apa lagi masalah?,” katanya menerusi catatan di Facebook, di sini, hari ini.

Tegas Ahmad Zahid setiap hari dicanang cerita rakyat tidak menjaga SOP dan sejauh mana murid sekolah boleh mematuhi SOP berbanding Ahli Parlimen menjaga jarak di Parlimen.

“Dan kelmarin Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mencadangkan semua sekolah ditutup buat sementara waktu dan laksanakan semula PdPR. Katanya bagi mengurangkan risiko penularan kes dan keselamatan guru serta pelajar.

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/04/696997/tutup-semua-sekolah-pibgn

“Isunya di sini sudah setahun dua bulan kita berhadapan COVID-19. Masalah sama masih berulang. Dan setiap keputusan kerajaan berubah-ubah hingga menyusahkan rakyat. Adakah kita tidak belajar daripada pengalaman?,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.