Dana KWAN Bukan Untuk Perbelanjaan Hari Ini – Mustafa Shah

KUALA LUMPUR, 24 April –  Keputusan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menggunakan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan program imunisasi kebangsaan adalah amat membimbangkan.

Menurut Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mustafa Shah Abdul Hamid, ini merupakan satu indikator jelas bahawa Kerajaan PN  seolah-olah telah kehabisan modal untuk menjana pendapatan negara bagi tujuan pembiayaan tersebut.

“Lebih merisaukan lagi apabila Kerajaan PN telahpun meluluskan peruntukan tambahan Program Imunisasi COVID-19 Nasional sebanyak RM5 billion pada bulan lepas tetapi masih lagi mahu mendapatkan dana tambahan melalui KWAN.

“Ini adalah kerisauan yang telah saya nyatakan sebelum ini apabila Kerajaan PN meluluskan pindaan kepada Ordinan Darurat yang membenarkan Perdana Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri untuk menggunakan dana negara tanpa perlu melalui sidang Parlimen.

“Kuasa tanpa periksa dan seimbang ini merupakan satu mimpi ngeri buat negara demokrasi kerana sidang Parlimen tidak tahu apakah butiran tentang perbelanjaan yang akan dilakukan oleh kerajaan sama ada ia benar-benar berhemah ataupun tidak,” katanya menerusi catatan di Facebook, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kangsar menegaskan dana KWAN ini merupakan pertahanan terakhir negara untuk menghadapi keadaan pada mana sumber asli negara akan kehabisan.

“Ini merupakan dana untuk generasi masa hadapan dan adalah amat tidak bertanggung jawab sekiranya Kerajaan PN memilih untuk menggunakan masa depan anak cucu kita bagi menampung kegagalan menjana pendapatan negara pada hari ini.

“Saya ingin bertanya kembali kepada Kerajaan PN terumatanya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali mengapa di tengah-tengah kemelut dan krisis COVID-19 ini, negara serantau seperti Indonesia, Vietnam, dan Singapura mampu menjana ekonomi yang lebih baik daripada Malaysia?,” soalnya.

Persoalannya, mengapa Indonesia berjaya mendapatkan pelaburan daripada syarikat gergasi dunia seperti Google dan Amazon sehingga berjaya merancang untuk membangunkan Lembah Silikon Timur di negara tersebut?

“Ke manakah hilangnya pengaruh Malaysia sebagai sebuah negara yang pernah menjadi tumpuan pelabur asing di rantau ini?

“Saya ingin menyeru kepada Kerajaan PN untuk membuka pintu perbincangan melalui sidang Parlimen untuk memastikan sama ada keputusan penggunaan dana KWAN dan dana negara ini adalah satu keputusan mendesak ataupun terdapat pilihan lain yang lebih baik. Gunakan segala usaha mungkin yang ada untuk menjana pendapatan negara yang semakin kritikal ini sebelum memilih untuk ‘memecah’ tabung simpanan untuk masa hadapan, tegasnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.