COVID: Pengembara Dari Negara Lapor Virus VOC Wajib Jalani Kuarantin 14 Hari

KUALA LUMPUR, 24 April – Pengembara yang baru tiba dari negara yang melaporkan penularan virus COVID-19 Varian Yang Membimbangkan (VOC) jenis baharu perlu menjalani tempoh kuarantin wajib yang dipanjangkan kepada 14 hari berbanding 10 hari sebelum ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata arahan itu sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan VOC jenis baharu di Malaysia memandangkan ada dalam kalangan varian itu telahpun dikesan di Malaysia, misalnya varian B.1.351 atau South African variant.

“Melihat kepada perkembangan pelaporan beberapa jenis VOC baharu lagi di banyak negara luar, adalah dikhuatiri varian ini kemungkinan boleh dibawa masuk oleh pengembara yang mengembara ke Malaysia.

“VOC ini boleh menyebabkan penularan jangkitan berlaku dengan pantas, jangkitan dengan gejala teruk dan komplikasi, kurang keberkesanan perlindungan yang diberikan oleh vaksin serta kesukaran mengesan jangkitan melalui ujian makmal tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata pengembara juga perlu menjalani ujian pengesanan jangkitan COVID-19 tiga hari sebelum tarikh berlepas, menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian (kuarantin) di stesen kuarantin serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang masih berkuat kuasa di Malaysia.

Beliau berkata berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat tiga jenis varian yang membimbangkan iaitu B.1.351 yang mula dilaporkan di Afrika Selatan, B.1.1.7 dari United Kingdom; dan B.1.1.28 atau P1 dari Brazil dan Jepun. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.