200 Vendor Gulung Tikar Susulan Penangguhan Projek LCS – Zambry

IPOH, 24 April – Kira-Kira 200 vendor dan kontraktor telah gulung tikar berikutan penangguhan penyediaan kapal peronda generasi kedua kapal tempur pesisir (LCS) di Lumut sejak dua tahun lepas, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata projek tersebut melibatkan 400 vendor namun sejak penangguhan dibuat, hampir 50 peratus daripada jumlah itu telah terkesan dan isu ini akan menjejaskan kesemua yang terlibat jika tiada sebarang keputusan dibuat oleh kerajaan mahupun pihak sepatutnya.

“Ia merupakan projek di peringkat kebangsaan yang bukan hanya melibatkan satu pihak. Peluang pekerjaan, ekonomi tempatan dan keselamatan negara semua berkait dengan projek ini.

“Langkah-Langkah daripada pihak kerajaan sangat diperlukan bagi projek LCS ini diteruskan supaya vendor dan pekerja boleh meneruskan tugas mereka dan tidak dibuang kerja,” katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri beberapa vendor yang terlibat di dalam projek itu.

Zambry berkata isu kegagalan pembinaan kapal LCS itu bukanlah untuk menimbulkan kontroversi tetapi  memohon campur tangan dan perhatian serius kerajaan kerana ia melibatkan banyak pihak serta pemain ekonomi tempatan.

Sementara itu, Safie Tamrin berkata syarikatnya dan rakan vendor lain berdepan isu membayar hutang selain modal pusingan tidak dapat dijana semula berikutan penangguhan projek tersebut.

“Kami memohon untuk pihak kerajaan memulakan semula projek LCS ini bagi menyelamatkan semua pihak,” katanya.

Dilaporkan pada Disember tahun lepas, Kementerian Pertahanan telah menjalankan siasatan secara mendalam mengenai kegagalan anak syarikat Boustead Holdings Bhd iaitu Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) membekalkan enam LCS bernilai RM9 bilion kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kementerian juga sudah melaksanakan siasatan melalui semakan ke atas klausa kontrak berkaitan isu kelewatan yang dialami dalam perolehan LCS ini.

Beliau berkata hasil siasatan itu membawa kepada pengeluaran Notis Tuntutan Ganti Rugi Tetap (LAD) berjumlah RM180 juta yang menyaksikan sebanyak RM80.6 juta berjaya dipungut secara set-off daripada BNS pada Oktober tahun lepas.

Mengikut perancangan asal, dua daripada enam LCS sepatutnya sudah diterima namun sehingga 31 Julai lepas (2020), belum ada satu kapal yang disiapkan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.