Stagflasi? Guna KWAN Rezab Terakhir Negara… Semacam Ada Isyarat Baharu Kerajaan Mahu Sampaikan

KUALA LUMPUR, 23 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek beranggapan berdasarkan kepada situasi semasa negara tidak sampai ke tahap stagflasi.

Ini kerana kata bekas menteri itu, dalam bajet lepas rakyat dijanjikan pertumbuhan ekonomi negara tahun ini sekitar enam ke tujuh peratus dan ianya sangat memberangsangkan.

“Namun, apabila tetiba harga ikan dan ayam naik mendadak, gaji turun dan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang menjadi rezab terakhir negara pun nak dipakai tanpa kelulusan Parlimen, semacam ada isyarat baru yang nak disampaikan.

“Harapnya menteri-menteri ekonomi kita mampu mengelakkan apa yang tak dikehendaki dari berlaku,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Ulasnya, semasa belajar asas ekonomi dahulu, istilah stagflasi membawa makna pertumbuhan ekonomi yang kaku (stagnant) bersekali dengan inflasi dan ia pernah berlaku teruk di Amerika Syarikat tahun 70-an.

“Tanda-tanda stagflasi apabila pengangguran meningkat, business lembab, gaji turun, harga hartanah jatuh dan barang keperluan seperti makanan pula naik,” kata bekas pensyarah Fakulti Ekonomi di Universiti Malaya itu.

Kelmarin, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menggunakan kuasa Darurat untuk wartakan satu pindaan ke atas akta KWAN untuk benarkan pengeluaran bagi pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan berhubung dengan vaksin.

Untuk rekod, KWAN ditubuhkan pada 18 Februari 1988 di bawah Akta KWAN 1988.

Objektif penubuhan KWAN adalah untuk memastikan penggunaan optima hasil sumber-sumber asli negara yang menyusut agar dapat memberi sumber pendapatan yang berterusan dan stabil demi faedah negara dan generasi akan datang. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.