Pemimpin Islam Dituntut Agama Miliki ‘Political Wisdom’, Laksana Dengan Niat Ikhlas – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 23 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menekankan bahawa sebagai pemimpin beragama Islam adalah dituntut dalam agama untuk mempunyai ‘political wisdom’ dan melakukan sesuatu dengan niat yang baik tulus ikhlas.

Katanya, sebagai pemimpin politik beragama Islam selain membangunkan negara dan menjaga kesejahteraan hidup rakyat, Darul Akhirah menjadi tujuan hidup.

“Syukur Alhamdulillah beberapa hari lalu saya berkesempatan menghadiri majlis berbuka puasa bersama anak-anak tahfiz Ummul Qura di Parlimen Kota Raja. Sangat senang dan lapang hati melihat anak-anak ini dididik tentang ilmu agama dan pada kemudian hari InsyaAllah bergelar seorang huffaz.

“Melihat mereka mengingatkan saya betapa komitednya kerajaan BN dalam membantu membangunkan pusat tahfiz yang melahirkan insan pemelihara al-Quran dan Islam sebelum ini.

“Komitmen itu malah terkandung dalam misi Transformasi Nasional (TN50) untuk mewujudkan 125 ribu huffaz negara dalam tempoh 30 tahun.”

Katanya, Barisan Nasional (BN) mengumumkan peruntukan sebanyak RM80 juta kepada sekolah pondok berdaftar, Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan institusi tahfiz selain berusaha menyalurkan pendidikan selain al-Quran kepada anak-anak ini sebagai kelayakan agar menjadi seorang Huffaz yang profesional.

“Saya sebagai TPM ketika itu malah memperakui huffaz yang terdiri daripada golongan profesional mampu memacu pembangunan negara secara holistik. Memastikan pelajar-pelajar tahfiz mendapat kemudahan sama seperti pelajar sekolah kerajaan dan berusaha menyeragamkan pendidikan mereka.

“Bagi saya negara mendambakan lebih ramai dalam kalangan huffaz menjadi ahli ekonomi, pakar kejuruteraan, saintis doktor dan sebagainya.

“Sebab itu juga kira-kira 11 bulan lalu saya pernah menzahirkan harapan agar pembangunan pendidikan tahfiz yang tertangguh selama 22 bulan di bawah ‘Malaysia Baharu’ kembali dilaksanakan.”

Maklumnya, kerajaan BN begitu komited melahirkan ramai huffaz profesional dibawah pentadbirannya timbul suara-suara menuduh ia permainan politik.

“Walhal dalam menterjamah amal soleh tidak ada batas politik yang seharusnya menghalang.

“Biarpun berbeza pegangan politik, untuk urusan agama kita sepatutnya berani mengenepikan halangan itu.

“Jika ini jadi pegangan biar apa ujian mendatang dalam amal soleh penuh keikhlasan pasti diredhai Allah S.W.T. Kita yakin jika kita menjaga agama Allah S.W.T, pasti Allah S.W.T akan menjaga kita,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.