KWAN Bukan Dana Petroleum Tapi Tabung Masa Depan Negara… Bukan Untuk Dijarah – Najib

KUALA LUMPUR, 22 April – Bekas Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) tidak boleh digelar sebagai duit atau dana petroleum walaupun sumbangan terbesar ialah dari Petronas.

Ujar Bekas Menteri Kewangan itu, KWAN adalah tabung amanah masa depan negara yang ditubuh untuk memberi sumber pendapatan yang berterusan dan stabil demi faedah negara dan generasi akan datang apabila sumber minyak negara kehabisan pada masa depan.

“Dalam Bahasa Inggeris, ianya dikenali sebagai ‘National Trust Fund’.

“Matlamatnya lebih seperti Khazanah Nasional untuk membina kekayaan bagi negara tetapi perbezaan paling besar ialah Tabung KWAN tidak bayar dividen tahunan kepada kerajaan.

“Segala pulangan yang diperolehi dari pelaburan yang dibuat KWAN tetap disimpan dalam KWAN,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Najib berkata demikian respon kepada beberapa portal yang mengatakan kerajaan menggunakan dana petroleum bagi pembelian vaksin COVID-19.

“Kedua-dua tajuk berita ini adalah salah! (bukan Mo Salah, ye),” tegasnya.

Jelas Ahli Parlimen Pekan itu semasa beliau menjadi perdana menteri, tiada pengeluaran dibuat dari KWAN kerana ianya untuk masa depan negara.

“Malah saiz dana berkembang hampir empat kali ganda dari RM4 bilion ke hampir RM17 bilion pada akhir tahun 2017 dalam tempoh saya PM sebab sumbangan dari Petronas lebih tinggi serta pulangan pelaburan tabung yang tinggi,” katanya lagi.

Semalam, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menggunakan kuasa Darurat untuk wartakan satu pindaan ke atas akta KWAN untuk benarkan pengeluaran bagi pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan berhubung dengan vaksin.

Dalam statusnya sebelum ini, Najib berkata beliau tiada masalah jika pindaan pada Akta KWAN itu adalah untuk tujuan vaksin COVID-19 namun terdapat keraguan apa yang terjadi kepada peruntukan sebanyak RM3 bilion dalam belanjawan tahun 2021 yang diluluskan dalam parlimen pada tahun lalu.

“Namun kerajaan pernah beritahu kita bahawa peruntukan RM2 bilion sudah cukup untuk membeli vaksin bagi 83% daripada penduduk Malaysia manakala RM1 bilion diperlukan untuk kos penyimpanan dan pengagihan.

“Akan tetapi selepas darurat dilaksanakan PM8 secara tiba-tiba telah naikkan peruntukan RM3 bilion ini sebanyak 66% kepada RM5 bilion dengan alasan mahu memendekkan tempoh pemberian vaksin sebanyak 2 bulan dari Februari 2022 ke akhir tahun 2021.

“Kenapa pula perlu dana tambahan sebanyak RM2 bilion untuk pendekkan tempoh vaksin selama dua bulan sahaja? Soalnya.

Begitu juga soalnya, apa telah terjadi dengan peruntukan asal RM3 bilion untuk vaksin dalam Bajet 2021, dana dari hasil penjualan aset negara, rizab-rizab tunai kerajaan lain seperti Khazanah Nasional dan Bank Negara Malaysia serta pinjaman baru kerajaan sebanyak RM75 bilion sejak tahun bermula sehingga dana KWAN yang dibina masa Barisan Nasional (BN) untuk generasi masa depan perlu dijarah.

Untuk rekod, KWAN ditubuhkan pada 18 Februari 1988 di bawah Akta KWAN 1988.

Objektif penubuhan KWAN adalah untuk memastikan penggunaan optima hasil sumber-sumber asli negara yang menyusut agar dapat memberi sumber pendapatan yang berterusan dan stabil demi faedah negara dan generasi akan datang.

Mengikut peruntukan Akta KWAN 1988, pihak-pihak yang wajar membuat sumbangan termasuklah Petronas atau sumber-sumber menyusut yang lain dan pihak yang terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan sumber-sumber alam semulajadi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.