Segera Kembalikan Suara Rakyat, Demokrasi Bukan Beri PM Kuasa Mutlak – Mustafa Shah

KUALA LUMPUR, 21 April – Tidak pernah berlaku dalam sejarah demokrasi negara yang membolehkan apa jua situasi Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak untuk menggunakan duit negara mengikut budi bicaranya sendiri tanpa perlu merujuk kepada sesiapa pun, tegas Exco Pemuda UMNO Mustafa Shah Abdul Hamid.

Katanya, dalam soal membelanjakan duit rakyat  tidak sewajarnya kerajaan dilepaskan daripada proses penelitian yang ketat walau serumit atau sesukar mana sekalipun keadaan yang dihadapi oleh negara.

“Ini menggambarkan seolah-olah Kerajaan PN telah putus harapan terhadap kebijaksanaan sidang dewan perundangan serta menganggap sidang tersebut bukan lagi wadah terbaik bagi membincangkan penyelesaian terhadap kemelut rakyat.

“Jika benar kerajaan memerlukan dana tambahan untuk mengatasi wabak COVID-19, maka bentangkanlah semua di Parlimen melalui RUU (Rang Undang-undang) Perbekalan Tambahan.

“Saya percaya bahawa ahli-ahli Parlimen pasti akan menyokong dan undi setuju sekiranya perancangan tersebut munasabah dan amat diperlukan, malah mampu untuk memberi tambah nilai yang lebih menyeluruh,” katanya dalam catatan di Facebooknya, hari ini.

Tambah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kangsar, kini, seluruh nasib 30 juta rakyat Malaysia dan negara betul-betul terletak di atas tangan seorang individu sahaja.

“Saya menyeru kepada Kerajaan PN terutamanya kepada Perdana Menteri supaya segera memulihkan demokrasi di negara ini. Hal yang melibatkan untung nasib negara serta kemaslahatan bersama harus dipulangkan kepada rakyat melalui wakil yang telah mereka pilih semasa pilihan raya yang lepas.

“Ini bagi memastikan bahawa suara rakyat Malaysia di seluruh pelusuk negara dapat didengari oleh kerajaan sama ada di Dewan Rakyat ataupun di Dewan Undangan Negeri,” katanya lagi.

Seterusnya tambah Mustafa lagi kerajaan PN telah mewartakan pindaan ordinan darurat yang membolehkan Perdana Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri meluluskan belanjawan tambahan menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa perlu melalui Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri semasa tempoh darurat.

“Saya berpandangan bahawa pindaan ini secara langsung telah melanggar prinsip demokrasi yang secara bijaksana telah meletakkan kebertanggungjawaban kerajaan terhadap sidang Parlimen.

“Sekiranya Parlimen telah dimansuhkan peranan untuk menyemak perancangan, tindakan dan keputusan kerajaan yang memerintah terutamanya melibatkan perbelanjaan duit negara, maka apa ertinya demokrasi berparlimen di negara kita ini,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.