Kes Harian COVID-19 Melebihi 2,000: Bekerja Dari Rumah Wajar Dipertimbangkan Semula – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 21 April – Arahan ‘Work From Home’ (WFH) atau Bekerja Dari Rumah (BDR) wajar dipertimbangkan semula oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), cadang Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, jika tidak 70% seperti sebelum ini sekurang-kurangnya separuh atau 50% dikehendaki bekerja dari rumah sudah memadai dalam keadaan sekarang.

“Ia ekoran sudah beberapa hari kes positif COVID-19 di Malaysia melebihi angka 2,000, manakala beberapa kluster tempat kerja direkodkan.

“Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) baru-baru ini turut mendesak WFH diteruskan demi keselamatan penjawat awam.

“Benar WFH bukan formula yang dapat mengatasi secara menyeluruh penularan pandemik COVID-19. Tetapi sekurang-kurangnya ia sedikit sebanyak membantu mengekang penularan wabak itu yang semakin meningkat,” tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam satu hantaran di Facebook petang ini.

Ulasnya, semua maklum seorang pekerja dijangkiti COVID-19 boleh menularkan penyakit itu terhadap ramai pekerja lain.

“Rakan-rakan sekerja yang dijangkiti kemudian berpotensi menularkan penyakit itu ke atas ahli keluarga apabila pulang ke rumah.

“Kita bergantung sepenuhnya kepada prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja, tetapi sejauh manakah pematuhannya dapat dipastikan.

“Saya dimaklumkan SOP paling asas iaitu penjarakan fizikal 1 meter pun kadangkala sukar dipatuhi disebabkan tuntutan kerja di premis tertentu,” katanya.

Jelasnya lagi, keadaan itu ditambah dengan mungkin ada yang dijangkiti tetapi tidak mempunyai tanda-tanda awal jangkitan.

“Alat pengimbas suhu badan tidak akan dapat menghalang mereka yang dijangkiti ini daripada berada dalam pejabat bersama-sama pekerja lain.

“Justeru, langkah WFH itu masih perlu sebelum negara sekurang-kurangnya mencapai imuniti berkelompok.

“Ia malah lebih diperlukan apabila melihat kepada proses memutuskan rantaian penularan wabak itu melalui Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan yang terlalu perlahan,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.