Ahmad Zahid Harap Kerajaan Pandang Serius Kawalan Harga Barang, Jangan Susahkan Rakyat

KUALA LUMPUR, 20 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap kerajaan memandang serius berkaitan kawalan harga barangan kerana ia melibatkan kepentingan dan kos sara hidup rakyat.

Beliau yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) melihat skim kawalan harga bulan Ramadan bukan saja tidak dilaksanakan tetapi skim kawalan harga menjelang Aidilfitri juga lewat dan kelewatan itu sama lewatnya dengan pengumuman bonus untuk kakitangan awam.

“Beberapa hari yang lalu Datuk Seri Najib Razak nampaknya membuatkan kerajaan PN marah apabila beliau mempertikaikan mengenai harga barangan yang semakin meningkat ketika Ramadan baru memasuki hari kelapan hari ini,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu terbabit menerusi facebooknya.

Ujarnya, antara yang meningkat adalah ikan kembung RM24 satu kg, daging ayam RM12 satu kg dan daging lembu RM40 satu kg.

“Saya melihat selepas ‘panas buntot’, KPDHEP tampil menjelaskan harga tiga barangan itu hanyalah di premis sekitar daerah ‘up market’ seperti Bukit Bintang. Semakan mereka juga mendapati terdapat premis lain di kawasan berdekatan yang menjual tiga barangan itu pada harga lebih murah.”

Persoalannya, kata Zahid adalah kenapa tidak selaraskan harga dan menyusahkan orang ramai?

“Adakah individu yang menetap di kawasan ‘up market’ (kawasan elit) perlu membayar lebih untuk mendapatkan daging ayam? Adakah kerajaan tahu bahawa bukan semua penduduk di Bukit Bintang golongan elit atau orang kaya. Terdapat juga daripada mereka berpendapatan sederhana dan rendah.

“Untuk pengetahuan kerajaan PN, ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada 2017 kami menjalankan urus tadbir yang teratur. Ramadan diraikan pada 27 Mei 2017 tetapi pada 19 Mei kami sudah mengumumkan pelaksanaan Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan.

“Skim itu dilaksanakan pada 22 Mei hingga 31 Mei 2017 iaitu lima hari sebelum puasa dan lima hari selepas puasa. Terdapat 10 jenis barang kawalan. Malah, kerajaan BN juga menguatkuasa dengan tegas Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.”

Jelasnya, pelaksanaan ini diyakini dapat memastikan barang kawalan tidak akan dinaikkan harga sewaktu Ramadan dan menjelang Aidilfitri.

“Tetapi apabila bukan BN memerintah dari 2018 hingga 2021, skim kawalan harga bulan Ramadan tidak dilaksanakan lagi. Kesannya harga barang seperti roket membedil Marikh, terutama ketika puasa.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.