Pemuda UMNO Johor Desak Kerajaan Jujur, Dedahkan Semua Angka Dan Data

KUALA LUMPUR, 19 April – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor mendesak kerajaan bersikap jujur memberitahu segala angka yang lengkap dan spesifik berkaitan COVID-19 dan bukan sekadar angka harian yang bersifat ‘umum’ atau sekadar mahu menunjukkan ‘progres’ sahaja.

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata Pemuda UMNO Negeri Johor terpanggil membuat desakan tersebut selepas melihat situasi COVID-19 yang tidak menampakkan perubahan positif, malah kalau jumlah angka kes harian terus mencatatkan bilangan 4 angka malah jejak ke jumlah lebih 2,000 kes.

“Persoalan mula timbul, apabila langkah mengisytihar Darurat dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 (yang tidak tegas dan lompong) dikatakan untuk memerangi COVID-19. Namun, bukan kata impak lebih baik, paling-paling menurunkan jumlah kes kepada tiga atau dua angka pun tidak berlaku hari ini.

“Jadi, apakah relevannya Perintah Darurat untuk memerangi COVID-19? Adakah hanya sekadar untuk memberi tempoh masa cukup untuk barisan Jemaah Kabinet mengumpul duit gaji dan ‘allowance’ atau dana sebelum menghadapi PRU?” soal beliau dalam kenyataan melalui laman facebooknya, hari ini.

Dalam hal ini beliau menimbulkan persoalan kepada setiap menteri dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan meminta agar menteri-menteri terbabit kekerja keraslah seperti nilai gaji diberi kerana gaji yang dibayar berbelas atau berpuluh ribu.

“Buat Menteri Vaksin dan Menteri Kesihatan, nyatakan secara terperinci dan data yang jelas berapa ramai Polis, kakitangan KKM, anggota Tentera, Bomba dan lain-lain petugas barisan hadapan yang sudah mendapatkan vaksin. Adakah sudah merangkumi majoriti petugas barisab hadapan di negara ini? Atau sekadar angka umum yang mahu membeli jiwa rakyat.

“Berapa banyak dan perincikan perbelanjaan yang digunakan untuk pembelian vaksin. Rakyat ingin tahu berapa kerajaan gunakan untuk setiap jenama vaksin yang dibeli sampai Abah pun kata duit kerajaan sudah semakin ‘kering’. “

Kepada Buat Menteri Kewangan pula beliau mempersoalkan berapa banyak wang KWSP yang sudah diagihkan sehingga hari ini kepada pemohon i-Sinar dan i-Lestari danberapa ramai penerima mengikut demografik dan kategori pecahan pendapatan yang mendapat manfaat daripada program berkenaan kerana semuanya tiada jadi apa yang cuba disembunyikan?

“Buat Menteri Kanan yang menjaga perdagangan, pelaburan dan ekonomi… itu belum lagi kami minta perincikan perbelanjaan delegasi ke Korea Selatan dan Jepun baru-baru ini. Berapa yang dihabiskan dan berapa nilai pelaburan yang dibawa pulang? Melebihi kos perbelanjaan ke sana atau defisit!?

“Belum lagi ditanya perbelanjaan Perdana Menteri yang lepas ‘rindu’ berjalan ke negara Asia Barat, berapa jumlah perbelanjaan delegasi ketika itu dan berapa jumlah pelaburan yang berjaya ditarik? Tidak ada langsung angka dan fakta, hanya kata-kata manis yang kononnya berjaya tarik minat pelabur dan macam-macam lagi ayat manis.

“Menteri Pendidikan pula mengapa berdiam diri saat kes dalam persekitaran sekolah di negara ini nampak peningkatan yang agak membimbangkan? Perincikan berapa ramai pelajar yang dijangkiti COVID-19. Rakyat terutama ibu bapa nak tahu, kerana mereka rasa bimbang keselamatan anak mereka. Jika keadaan terkawal dan tidak kritikal, bermakna bolehlah Parlimen bersidang.”

Menteri Wanita pula, Mohd Hairi bertanya ke mana menghilang selepas gigih merampingkan diri?

“Apa inisiatif memperkasakan bantuan kebajikan terhadap keluarga dan mereka terjejas ekoran COVID-19? Adakah sudah memadai bantuan yang dicanang?

“Apa pula kaitan melantik Timbalan Menteri Pelancongan yang baharu sedangkan sektor pelancongan ketika ini masih belum beroperasi sepenuhnya? Apakah relevan lantikan portfolio ini? Dipilih pula pemimpin yang kalah hilang wang deposit waktu PRU tempoh hari untuk jadi Timbalan Menteri. Haru-biru jadinya.”

Sehubungan itu, tegasnya lagi Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor mendesak kerajaan memberitahu dan mendedahkan semua angka dan statistik yang diminta secara terperinci untuk rakyat lebih jelas mengenai apa yang sudah dilakukan sepanjang tempoh Darurat ini berlangsung. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.