443,029 Individu Lengkap Dua Dos Suntikan Vaksin COVID-19

KUALA LUMPUR, 19 April – Seramai 443,029 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata bagi tempoh sama, 701,812 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 di negara ini kini berjumlah 1,144,841 dos.

Menerusi satu infografik yang dikongsikan di laman Twitter rasminya hari ini, Dr Adham berkata lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 98,877 individu, diikuti Kuala Lumpur (78,087), Sarawak (69,523), Johor (67,477) dan Perak (58,297).

Lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin COVID-19 tertinggi setakat ini pula ialah Selangor dengan 63,166, diikuti Perak (48,822), Sabah (43,304), Kuala Lumpur (38,642) dan Sarawak (34,590).

Mengenai jumlah mereka yang mendaftar untuk program imunisasi itu, Dr Adham berkata setakat semalam, seramai 8,992,832 atau 37.1 peratus daripada yang disasarkan telah mendaftar, dengan Selangor kekal mencatatkan angka tertinggi sebanyak 2,365,769 pendaftaran.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga bulan ini, melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya, manakala fasa ketiga dijadual bermula Mei hingga Februari 2022 melibatkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran kira-kira 14 juta orang. – BERNAMA