Malaysia Belum Masuki Gelombang Keempat COVID-19 – Dr Adham

KOTA TINGGI, 17 April – Negara masih lagi mengharungi gelombang ketiga COVID-19 dan belum memasuki gelombang keempat penularan pandemik itu, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau menjelaskan sesuatu penularan hanya dianggap gelombang seterusnya jika jangkitan tempatan ketika gelombang semasa sudah mendatar atau mencatat kes sifar selama beberapa hari sebelum berlaku peningkatan kes baharu secara mendadak.

“Saya dapati sejak tiga minggu kebelakangan ini kes yang kita rekodkan (dalam gelombang ketiga) tidak menurun.

“Gelombang keempat COVID-19 hanya boleh berlaku sekiranya gelombang ketiga telah sampai (dapat diturunkan) ke ‘baseline’ atau direkodkan hingga sifar dan kemudian ia (penularan) bermula semula,” katanya ketika ditemui Bernama di Surau As-Syakirin, Taman Sri Saujana, di sini hari ini.

Dr Adham berkata Malaysia boleh mengalami gelombang keempat COVID-19 sekiranya berlaku kemerosotan kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan orang ramai sehingga wujud kluster baharu.

“Antara faktor menyebabkan kes meningkat ketika ini, kita lihat terdapat aktiviti pada awal April lepas seperti majlis perkahwinan, perjumpaan, keramaian termasuk mobilisasi menghantar anak pulang merentas negeri, antaranya ke sekolah dan universiti,” katanya.

Semalam, negara merekodkan kes baharu harian sebanyak 2,551 kes.

Malaysia mengalami gelombang ketiga COVID-19 pada September tahun lepas dengan kes harian meningkat kepada empat angka bermula 24 Okt, iaitu sebanyak 1,228 kes.

Sementara itu, ketika mengulas kebimbangan peningkatan kes susulan kegagalan pematuhan SOP di bazar Ramadan, Dr Adham berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) telah diberi kuasa untuk mengenakan kompaun kepada yang melanggar SOP.

“Saya harap kompaun ini bukan menghukum tetapi mendidik orang ramai supaya tidak melakukan kesalahan itu kerana kita tahu bazar Ramadan ialah punca pendapatan peniaga kecil. Mereka sudah lama tidak dapat berniaga, jika kita sekat ia akan menyebabkan ekonomi (mereka) terkesan,” katanya yang mahu pemantauan di bazar Ramadan ditingkatkan.

Pada masa sama, Dr Adham menggesa orang ramai berganding bahu melindungi diri dan masyarakat selain memperkasa komuniti menerusi ABC-19 (ejen basmi COVID-19) yang merupakan inisiatif terkini kerajaan dalam memastikan masyarakat terhindar daripada jangkitan virus itu. – BERNAMA