Projek Tanaman Serai Di Baling Bantu Peserta Jana Pendapatan Lumayan

BALING, 16 April – Projek tanaman serai yang diusahakan secara berkelompok menerusi Program Rakan Strategik Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di empat kampung di daerah ini, berupaya membantu peserta yang terlibat menjana pendapatan sehingga RM164,000.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, empat kampung berkenaan ialah Kampung Charuk Bakung, Kampung Baru, Kampung Seberang dan Kampung Weng Dalam dengan keseluruhan kawasan tanaman seluas 7.7 hektar.

“Menerusi Program Rakan Strategik KPLB, terdapat 14 rakan strategik yang memberi pelbagai bentuk bantuan untuk program ini, salah satu daripadanya ialah menerusi pelaksanaan projek tanaman serai ini yang membabitkan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda).

Seramai lapan peserta dari empat buah kampung tersebut terlibat dalam projek itu yang dimulakan sejak tahun lepas dan dijangka akan menerima hasil tanaman pada tahun ini dianggarkan keseluruhan berjumlah RM164,000,” katanya pada sidang media selepas melawat Projek Bengkel Jahitan dan Sesi Penyerahan Sumbangan Rakan Strategik KPLB, di sini, semalam.

Terdahulu, beliau turut melawat tapak projek tanaman serai di Kampung Weng Dalam dekat sini.

Menurut Abdul Rahman, projek tanaman serai di Kampung Charuk yang berkeluasan 3.4 hektar dijangka menghasilkan sebanyak 40 tan serai; Kampung Baru (1.7 hektar) sebanyak 18 tan; Kampung Seberang (0.8 hektar) sebanyak sembilan tan; dan Kampung Weng Dalam (1.7 hektar) sebanyak 15 tan.

Katanya, tanaman serai dipilih untuk diusahakan memandangkan ia mudah, tidak memerlukan penjagaan rapi, mendapat permintaan tinggi selain harga pasarannya yang agak baik iaitu sekitar RM2 sekilogram.

“Usaha seperti ini boleh diperluaskan kepada lebih ramai peserta…kalau ada tanah terbiar di daerah ini, boleh diusahakan agar dapat membantu meningkatkan ekonomi penduduk di daerah ini,” katanya.

Abdul Rahman berkata, Program Rakan Strategik KPLB merupakan inisiatif baharu KPLB yang bermatlamat untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.

“Saya berharap agar rakan-rakan strategik KPLB dapat sentiasa berhubung bagi meneruskan usaha membantu lebih ramai penduduk luar bandar menambahkan pendapatan mereka,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.