Pengesanan Varian South African B.1.351: MKN Perlu Kaji Semula Kelonggaran – Khairy

SEREMBAN, 15 April – Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin melahirkan kebimbangannya terhadap pengesanan 17 kes COVID-19 varian South African B.1.351 di negara ini yang akan memberi kesan kepada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Khairy berkata sebaik sahaja varian itu merebak, beberapa vaksin tidak akan berkesan terhadapnya dan kadar penularan virus akan meningkat.

Justeru, katanya Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu mengkaji semula beberapa kelonggaran yang diberikan supaya program imunisasi itu tidak akan terjejas.

“Kebimbangan terbesar saya adalah varian virus. Semalam Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan sudah ada 17 kes varian Afrika Selatan di Malaysia dan kita tahu bahawa varian ini bukan sahaja lebih mudah disebarkan tetapi vaksin ini juga kurang berkesan terhadapnya.

“Jika kita tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP), gelombang keempat adalah lebih teruk daripada gelombang ketiga,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini hari ini.

Sebelum ini, Dr Noor Hisham melaporkan varian South African B.1.351 dikesan di negeri Selangor iaitu Kluster Jalan Lima, Daerah Hulu Langat dan Sepang (tiga kes); Kluster Kebun Baru, Kuala Langat (sembilan kes); Kluster Teknologi Emas, Kuala Langat (satu kes) dan saringan kontak rapat (satu kes). – BERNAMA