Melaka Tempatkan Polis Jaga Pematuhan SOP Bazar Ramadan

MELAKA, 15 April – Kerajaan negeri akan menempatkan pegawai dan anggota polis bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kesemua 70 bazar Ramadan di Melaka secepat mungkin.

Ketua Menterinya Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata selain polis, beliau juga telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan kompaun, untuk turut berada di sekitar bazar Ramadan.

“Ketika ini, penganjur dan peniaga telah mematuhi SOP yang digariskan kerajaan namun berbeza dengan pengunjung yang masih degil untuk mematuhi SOP penjarakan sosial walaupun mereka memakai pelitup muka dan mengimbas kod MySejahtera.“Penganjur dan peniaga masing-masing telah melaksanakan tanggungjawab mereka tapi pengunjung pula yang buat hal dengan berebut-rebut ketika membeli juadah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Santuni Kasih Permata Hati sempena Sambutan Ulang Tahun ke-18 Bandaraya Melaka Bersejarah di Hospital Melaka di sini, hari ini.

Sulaiman berkata beliau tidak teragak-agak untuk membatalkan bazar Ramadan di negeri berkenaan jika berlakunya peningkatan kes jangkitan COVID-19 selepas ini, selaras dengan saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bermesyuarat semalam.

“Kalau ini berlaku (peningkatan kes COVID-19) saya tak teragak-agak untuk batalkan bazar Ramadan. Tapi saya juga kesian dengan peniaga yang baru nak berniaga pada tahun ini selepas tak dibenarkan pada tahun lepas.

“Jangan sebab kita (pengunjung) tak patuh SOP peniaga pula yang tak boleh cari makan,” katanya. – BERNAMA