Darurat + PKP Separuh Masak Tidak Berjaya Hentikan Penularan COVID-19 – Najib

KUALA LUMPUR, 14 April – Genap tiga bulan negara telah melaksanakan Darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 semalam iaitu dari 13 Jan hingga 13 April).

Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menimbulkan persoalan apakah ia berkesan dan adakah perlaksanaan darurat berjaya menghentikan penularan COVID-19.

Najib berkata demikian merujuk kepada rekod semalam di mana jumlah kes baru sebanyak 1,767 kes, jumlah kes aktif: 16,300; jumlah pesakit dalam unit rawatan rapi (ICU): 199; kematian baru: 12 dan kluster baru dikesan sebanyak 9.

“Malah, kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau Ro/Rt diberi KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) juga naik lagi ke 1.09 (di atas paras neutral 1.00) semalam – iaitu petunjuk bahawa jumlah jangkitan baru adalah dalam trend menaik.

“Jelas membuktikan bahawa perlaksanaan darurat tidak berjaya menghentikan penularan COVID-19 dan harapan mencapai sasaran Darurat + PKP2.0 bagi jumlah kes turun ke dua angka pada bulan Mei semakin malap,” tegas bekas Perdana Menteri itu di dalam satu hantaran di Facebook.

Justeru, Najib membidas kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang melaksanakan PKP separuh masak.

“Adalah kesilapan besar apabila kerajaan PN degil untuk melaksanakan PKP yang singkat tapi amat ketat tanpa kelonggaran tetapi pilih untuk buat PKP separuh masak dengan segala kelonggaran bagi kilang-kilang, Ikea, shopping mall, Victoria’s Secret, kedai emas dan sebagainya pula pada permulaan PKP 2.0.

“Akibatnya, kebenaran rentas negeri sempena Aidilfitri menjadi tanda tanya besar,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.