Kerajaan Negeri Disaran Ikut Sop Kerajaan Persekutuan – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 13 April – Kerajaan negeri disaran untuk mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan kerajaan Persekutuan bagi menyeragamkan peraturan serta mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat di negeri-negeri.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata kerajaan negeri boleh mengetatkan SOP yang ditetapkan kerajaan Persekutuan sekiranya perlu bagi mereka untuk mengawal keadaan di negeri masing-masing.

“(Apabila) Majlis Keselamatan Negara (MKN) menetapkan SOP, sepatutnya ia diikuti oleh setiap negeri di seluruh negara, tetapi kami berpandangan kerajaan negeri boleh menggunakan budi bicara mereka berdasarkan kes yang berlaku di negeri mereka.

“… saya telah berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bahawa kerajaan negeri boleh membuat peraturan yang lebih ketat jika mereka merasakan itu perlu, yang tidak dibenarkan adalah melonggarkan SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan,” katanya pada sidang media mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) di sini, semalam.

Semalam, kerajaan negeri Kelantan mengumumkan bazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh negeri itu dibatalkan walaupun kerajaan Persekutuan sebelum itu telah meluluskan pembukaan bazar itu untuk tahun ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata rakyat yang enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19 tidak boleh dihukum kerana perkara tersebut bukan diwajibkan dan ia adalah pilihan kepada orang ramai.

Bagaimanapun, beliau menyeru rakyat untuk mengambil suntikan vaksin demi kepentingan kesihatan mereka dan masyarakat sekeliling.
“Pengambilan vaksin ini bukan diwajibkan tetapi diberi pilihan kepada rakyat… Kita tidak boleh hukum (mereka yang tidak mahu mengambil vaksin) tetapi mohon mereka untuk mengambil vaksin demi kesihatan,” katanya.

Jelasnya lagi, setakat ini kerajaan masih belum membuat perbincangan mengenai pengambilan vaksin untuk rakyat yang ingin ke luar negara dan perkara tersebut tertakluk kepada negara yang ingin dilawati.

Beliau memberi contoh kerajaan Arab Saudi yang berkemungkinan mewajibkan suntikan vaksin COVID-19 kepada jemaah yang akan menunaikan haji tahun ini dan perkara tersebut masih dalam perbincangan. – BERNAMA