Sultan Mizan Seru Umat Islam Perkukuh Perpaduan

KUALA TERENGGANU, 12 April – Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam agar memperkukuhkan perpaduan dan kesatuan sepanjang Ramadan ini.

Baginda bertitah meskipun usaha untuk berbuat demikian bagaikan suatu perjalanan yang jauh dan sukar, namun sekiranya umat Islam membetulkan niat dan memperkasakan usaha ke arah itu, ia mampu menjadi suatu kenyataan.

“Ramadan adalah bulan yang penuh dengan sejarah kemenangan bagi perjuangan umat Islam, di dalamnya tercatat sejarah hebat perjuangan Islam bermula dengan kemenangan di medan peperangan Badar sehingga kepada pembukaan Kota Mekah yang dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW.

“Kemenangan umat Islam terhasil daripada jati diri yang teguh, berpegang kuat dengan agama dan perpaduan yang sangat kukuh. Oleh itu, marilah kita sama-sama memperkukuhkan perpaduan dan kesatuan umat Islam agar segala cabaran dan dugaan yang kita hadapi akan dapat diatasi dengan jayanya,” titah baginda dalam perutusan menyambut ketibaan Ramadan.

Sultan Mizan turut menasihatkan umat Islam agar mengambil kesempatan pada Ramadan ini dengan mengunjungi masjid dan surau untuk solat fardhu dan solat sunat tarawih kerana aktiviti itu mampu mengeratkan silaturahim.

Baginda juga menyeru umat Islam agar terus mendidik diri dan jiwa supaya merasai kesusahan hidup orang lain, terutama mereka yang memerlukan pertolongan dengan membayar zakat menerusi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

“Bayarlah zakat menerusi amil zakat yang telah dilantik oleh MAIDAM. Mudah-mudahan zakat yang kita keluarkan dapat disalurkan sebaik mungkin kepada asnaf yang berhak menerimanya.

“Akhirnya, beta menyeru agar kita sama-sama memperbanyakan ibadah di bulan ini dan semoga Ramadan tahun ini menjadi yang terbaik dan segala amalan diterima oleh Allah,” titah baginda. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.