Melaka Terus Perkukuh Prinsip Prihatin Rakyat – Ketua Menteri

MELAKA, 12 April – Kerajaan Melaka memberi jaminan dan komitmen 100 peratus untuk terus memperkukuhkan prinsip Prihatin Rakyat selepas 13 bulan menerajui pentadbiran kerajaan.

Ketua Menterinya Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata ia bagi memastikan rakyat sentiasa diberikan perkhidmatan terbaik dari semasa ke semasa selepas melalui tempoh sukar dan terkesan akibat pandemik COVID-19.

Katanya cabaran utama pada masa ini ialah mengimbangi tuntutan melindungi nyawa dan kesihatan rakyat selain mencari jalan untuk menjamin kelangsungan ekonomi serta kesejahteraaan rakyat.

“Saya juga merakamkan penghargaan, terima kasih dan tahniah kepada barisan pembangkang kerana di bawah pimpinan saya, mereka bukanlah musuh politik tetapi merupakan rakan strategik di dalam kerajaan negeri yang sama-sama berjuang dalam memberi perkhidmatan terbaik buat negeri ini.

“Dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat, ruang politik tidak wajar menjadi ‘daerah kesumat dan dendam’ malah wajar menjadi oasis perpaduan dan kestabilan yang akhirnya menyenangkan fikiran dan hati rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pencapaian Setahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka 2020-2021 di Banda Hilir di sini hari ini.

Pada majlis itu beliau turut melancarkan Coffee Table Book Melaka 2035 dan menyempurnakan Majlis Penyerahan Dokuman Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035).

Sulaiman berkata antara kejayaan yang dikecapi termasuk dapat mengurangkan hutang kerajaan negeri kepada kerajaan Persekutuan sebanyak RM179 juta dalam tempoh setahun selain mengurangkan kadar pengangguran pada kadar terendah sehingga 1.1 peratus selain menyelesaikan masalah air dengan pelaksanaan projek bekalan air yang menelan kos RM1.2 bilion.

Jelasnya, segala kejayaan yang diraih sepanjang setahun pentadbiran kerajaan negeri adalah kejayaan milik bersama dan tidak akan dapat dicapai tanpa peranan semua pihak termasuk rakyat Melaka.

“Kepuasan hati rakyat adalah matlamat utama yang dijadikan penanda aras bagi kejayaan pentadbiran kerajaan negeri dan bukannya dinilai daripada pembangunan projek semata-mata.

“Pada saya, apa-apa perkara yang dapat memuaskan hati rakyat sama ada ia besar atau kecil ia satu kejayaan yang paling penting,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.