BN Johor Sudah Mula Bincang Agihan Kerusi PRU15 – Hasni

JOHOR BAHRU, 12 April – Barisan Nasional (BN) Johor sudah memulakan perbincangan mengenai pembahagian kerusi antara komponen parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya Datuk Hasni Mohammad berkata BN Johor sudah mencapai ketetapan untuk UMNO, MCA dan MIC bertanding pada pilihan raya berkenaan.

“Saya sudah mula bincang dengan pimpinan MCA dan MIC,” kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu kepada pemberita selepas menutup program Bangkit 15 anjuran Biro Latihan dan Perkaderan UMNO Malaysia, di sini semalam.

Hasni, yang juga Menteri Besar Johor, berkata, bagaimanapun, perbincangan terbabit masih belum memuktamadkan kawasan dan jumlah agihan kerusi setiap parti komponen berkenaan.

Beliau berkata perbincangan soal pengagihan kerusi juga setakat ini hanya melibatkan antara parti komponen BN Johor sahaja dan tidak melibatkan rakan dalam Perikatan Nasional (PN) mahupun Muafakat Nasional (MN).

Sementara itu, mengenai Bangkit 15, Hasni berkata ia merupakan usaha mengukuhkan jentera UMNO Johor selain penambahbaikan kaedah serta latihan dalam menghadapi PRU15.

Beliau berkata UMNO Johor sebagai parti komponen BN akan sentiasa mencari jalan dalam mempertingkatkan kekuatan BN Johor.

“Kita telah bincang beberapa perkara (pada program Bangkit 15) seperti pendekatan kempen pilihan raya serta mahu MCA dan MIC juga menggunakan kaedah sama seperti diamalkan oleh UMNO Johor,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.