UMNOSiswa UKM Selar Tindakan Fahmi Reza

BANDAR BARU BANGI, 8 April – Pengerusi UMNOSiswa UKM Muhammad Izzat Hakim Mohd Noh mewakili kepimpinan serta ahli mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tidak bermoral yang dilakukan oleh Fahmi Reza.

Tegasnya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah merupakan sebuah universiti yang lahir daripada hasil titik peluh serta jerih perih rakyat dan jangan sesekali menghina logo kebanggaan mereka.

“Tidak salah untuk berpolitik walau dengan apa cara sekalipun termasuk dengan menggunakan medium satira. Akan tetapi, janganlah sehingga mengubah suai logo sebuah institusi pengajian tinggi yang telah lahir daripada hasil jerih perih rakyat.

“Logo UKM sendiri telah mempunyai mesej serta nilai-nilai yang murni sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang berprestij,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beberapa hari lepas, warga Pendaulat Amanah Negara telah digemparkan dengan sebuah satira politik yang amat menjejaskan imej sebuah institusi pengajian yang telah banyak berjasa kepada negara.

Dilaporkan, Fahmi Reza telah mereka cipta logo menyerupai logo UKM dengan meletakkan gambar katak di dalamnya dan tular di media sosial.

Tambah Izzat, perkara sedemikian jelas menunjukkan sebuah perbuatan yang jijik dan tidak berpendidikan.

“Saya selaku warga UKM berasa dihina dengan perbuatan yang dilakukan ini,” katanya.

Jelasnya, UKM adalah merupakan sebuah universiti yang telah melahirkan ramai cendekiawan serta tokoh dalam pelbagai bidang termasuklah Tan Sri Noor Hisham Abdullah yang merupakan salah seorang alumni UKM.

“Jelas di sini bahawa perbuatan yang dilakukan oleh Fahmi Reza ini telah mengguris banyak pihak termasuk alumni UKM sendiri yang telah banyak berjasa kepada negara.

“Varsiti ini, Varsiti kita,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.