IMBRT Mampu Tingkatkan Penggunaan Pengangkutan Awam Di Johor – Hasni

ISKANDAR PUTERI, 8 April – Kerajaan Negeri Johor yakin rangkaian liputan Bas Rapid Transit Iskandar Malaysia (IMBRT) yang dijangka mula beroperasi pada 2023 dapat meningkatkan lagi penggunaan pengangkutan awam di negeri ini.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata hal ini berikutan IMBRT yang menjalani ujian rintis selama tiga bulan, bermula hari ini, mempunyai kelebihan dari segi ketepatan jadual perjalanan, keselamatan dan keselesaan, selain menggunakan teknologi hijau dan sistem tiket yang praktikal.

Katanya, ketetapan kadar harga tambang untuk menggunakan perkhidmatan IMBRT juga tidak berdasarkan kepada kos operasi.

“IMBRT tidak akan mengenakan bayaran berdasarkan kos operasi atau kos pembangunan projek, tetapi keupayaan masyarakat akan menjadi asas untuk menentukan kadar harga yang akan diperkenalkan nanti.

“Kami tahu banyak ruang untuk penambahbaikan dalam pengangkutan awam di Johor. Jadi apabila IMBRT ini dibangunkan ia dilihat dapat memberi banyak manfaat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Ujian Rintis IMBRT di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Ismail Ibrahim, Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohd Solihan Badri.

Sementara itu Ismail ketika berucap pada majlis berkenaan berkata IMBRT menitikberatkan sistem yang efisyen, efektif, mampu biaya, kos selenggara rendah dan kos pembinaan munasabah.

Menurutnya, menjelang tahun 2025, rangkaian liputan pengangkutannya akan dipertingkatkan daripada 39 peratus kepada 90 peratus kawasan pembangunan ekonomi Iskandar Malaysia, sekali gus meningkatkan peralihan nisbah pengangkutan awam daripada 15 peratus kepada 40 peratus.

Beliau berkata sistem IMBRT akan menghubungkan 55 laluan perantara dan 44 laluan terus dan ia meliputi jajaran sepanjang 2,051 kilometer iaitu kira-kira 90 peratus dari kawasan berpenduduk di Iskandar Malaysia.

“Menariknya, perkhidmatan IMBRT ini juga dirancang setelah mengambil kira keperluan mengurangkan impak rumah hijau ke atas alam sekitar,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.