Tiga Kampung Di Terengganu, Sebuah Di Sabah Dikenakan PKPD Bermula Esok

KUALA LUMPUR, 6 April – Tiga kampung di Terengganu dan sebuah di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok hingga 20 April ini susulan peningkatan kes positif COVID-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata di Terengganu, kawasan yang terlibat ialah Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru dan Kampung Keruak di Mukim Hulu Besut manakala di Sabah ialah Kampung Murni C di Nabawan.

Beliau berkata 58 ujian saringan dilaksanakan di ketiga-tiga lokaliti di Terengganu dan daripada jumlah itu, enam disahkan positif COVID-19 manakala di Sabah, 17 ujian saringan dilakukan yang merekodkan enam kes positif wabak tersebut.

Ismail Sabri berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mengesahkan kadar kebolehjangkitan di kesemua lokaliti adalah tinggi.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti,” menurutnya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dan PKP Pemulihan hari ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.