Penjualan Sarung Tangan Getah Diharamkan? Kerajaan Perlu Lihat Secara Serius

KUALA LUMPUR, 6 April – Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berpandangan kerajaan perlu memberi tumpuan serius berhubung dakwaan yang berkaitan pengeluaran sarung tangan terbesar di dunia, Top Glove.

Menurut beliau Top Glove, pengeluar terbesar di dunia telah diharamkan penjualan produk mereka oleh kerajaan Amerika Syarikat sejak Julai tahun lepas dan dikhabarkan terkini kesemua barangan sarung tangan getah Malaysia telah juga diharamkan.

Jelas beliau pengeluar sarung tangan getah adalah satu-satunya industri yang menyumbang secara positif kepada ekonomi dan juga kantung kewangan negara melalui cukai di masa COVID-19.

“Contohnya, Top Glove yang mempunyai 47 kilang pemprosesan sarung tangan di Malaysia, Thailand, Vietnam dan China dengan 28 daripadanya terletak di Malaysia. Ia mencatatkan keuntungan melebihi 417% tahun lepas dan salah satunya penyumbang utama kepada kewangan negara melalui cukai pendapatan.

“Pengeluar sarung tangan getah adalah satu-satunya industri yang menyumbang secara positif kepada ekonomi negara di masa COVID-19 ini. Mengapa kita tidak bertindak proaktif menyelesaikan kemelut ini? MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) di bawah Datuk Seri Azmin dan Menteri Ekonomi Datuk Seri Mustapa Mohamed buat apa sepanjang krisis ini,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Kata beliau lagi ianya berlarutan sekian lama tanpa pemantauan kerajaan.

Tambahnya walaupun industri pembuatan sarung tangan getah dipelopori oleh syarikat swasta tapi ia banyak menyumbang kepada ekonomi negara seperti pembayaran cukai-cukai, pembelian getah dari pekebun-pekebun kecil dan menggaji pekerja pekerja lebih dari 100,000 orang dan banyak lagi negara-negara maju memerhati dan mungkin akan mengikuti langkah AS.

“Kita akan lihat pengecilan operasi kilang-kilang pengeluar sarung tangan getah, pembelian getah dari pekebun-pekebun kecil juga akan terjejas dan akan menambah lagi pemberhentian pekerja-pekerja yang akan menjadi statistik pengangguran negara walaupun kebanyakan pekerja-pekerja mereka adalah warga asing.

“Masalahnya pada hemat saya sangat mudah diselesaikan iaitu kita dituduh mengunakan buruh paksa. ‘Engaging’ dengan syarikat-syarikat pengeluar dan membuat garis panduan baru cara-cara kita melayan pekerja-pekerja untuk mereka patuhi.

“Kementerian berkenaan seharusnya membuat representasi ke negara-negara yang meragui tidakan serius kerajaan untuk mengatasi masalah ini. Setelah sembilan bulan apa yang kerajaan buat,” tambahnya.

Tegas beliau ini sangat memalukan setelah satu-satunya industri yang berpotensi dibiarkan terkapai-kapai menyelesaikan masalah mereka sendirian dan negara memerlukan kerajaan yang lebih proaktif menyelesaikan masalah industri-industri yang sedia ada. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.