Pencemaran Sungai Skudai Jejaskan LRA Sultan Ismail

JOHOR BAHRU, 6 April – Pencemaran Sungai Skudai yang berpunca daripada sisa industri dan kumbahan menjejaskan Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Ismail, di sini, bagi merawat sumber air mentah sebahagian penduduk daerah ini.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata ketika ini LRA Sultan Ismail hanya mampu merawat kira-kira 53 juta liter air sehari (MLD) berbanding kapasiti sebenar sebanyak 227.31 MLD.

Beliau berkata pelbagai usaha melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Johor, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor serta komuniti perlu ditingkatkan dalam memastikan lebih tinggi kapasiti sumber air Sungai Skudai yang berada di kelas tiga, dapat dirawat untuk kegunaan masyarakat.

Menurutnya, program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) di kawasan Sungai Skudai sepanjang empat kilometer yang akan dijadikan kawasan rekreasi diharapkan membantu usaha pemuliharaan sungai tersebut sekali gus tidak menjadi ‘gajah putih’.

“LRA Sultan Ismail pada awalnya mampu merawat 227 juta liter air sehari, tetapi oleh kerana pencemaran, kini hanya sekitar 53 juta liter air sehari sahaja dan itu menyebabkan sekiranya berlaku musim kemarau, maka, kawasan Johor Bahru ini atau kawasan yang menerima sumber air dari loji ini terpaksa dibekalkan air secara berjadual.

“Dengan program seumpama ini (DSK), kami harap agar loji rawatan air di sungai ini akan dapat diselenggara dan beroperasi dengan kapasiti yang lebih besar. Kami perlukan kerjasama daripada agensi berkaitan seperti JPS dan JAS supaya dengan kerjasama yang baik, saya percaya akan dapat meningkatkan kualiti air di sungai ini yang waktu ini berada pada kelas tiga,” katanya.

Hasni berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Sayangi Sungai Skudai bersempena Hari Air Sedunia peringkat Negeri Johor di Loji Air Skudai, di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri menerusi pelbagai agensi berkaitan akan terus memantau dan memastikan program-program pemuliharaan sungai akan berjaya diteruskan.

“Kami akan terus memantau, yang penting program yang dijalankan berkesan dan tidak menjadi gajah putih. Kami buat denai ini, belanja beratus ribu, tetapi jika masyarakat setempat tidak memberi kerjasama dan denai itu dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, maka hasrat kerajaan akhirnya tidak tercapai,” katanya.

Sungai Skudai sepanjang 46 kilometer yang berpunca dari kaki Bukit Sedenak, Kulai dan berakhir di Selat Johor, di sini, terletak dalam kawasan Parlimen Johor Bahru, Pulai dan Kulai.

Sungai tersebut merupakan sumber air utama bagi LRA Sultan Ismail yang membekalkan air terawat kepada 163,250 pengguna di daerah Johor Bahru. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.