Pahang Tak Benar Imam Luar Pimpin Solat Tarawih Di Masjid, Surau

KUANTAN, 6 April – Imam dari luar Pahang termasuk dari pondok atau maahad tahfiz tidak dibenarkan memimpin solat tarawih di masjid atau surau di negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) pengimarahan masjid dan surau di negeri itu sepanjang Ramadan juga tidak membenarkan penceramah jemputan dari luar Pahang selain menetapkan tiada tazkirah tarawih.

“Solat tarawih perlu selesai selewat-lewatnya 10 malam. Tazkirah yang dibenarkan ialah selepas solat Zohor dan sebelum solat Jumaat dengan tempoh maksimum 15 minit.

“Aktiviti tadarus dan khatam al-Quran dibenarkan selepas solat Subuh hingga sebelum Maghrib manakala Qiamullail dibenarkan pada 10 malam terakhir mulai 3 pagi hingga solat Subuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Rosdy berkata sepanjang Ramadan, penyertaan pelajar dari sekolah berasrama dan kanak-kanak bawah tujuh tahun untuk solat tarawih di masjid atau surau tidak dibenarkan, namun asrama sekolah dibenarkan untuk menganjurkan solat tersebut.

Jumlah jemaah pula menurut Wan Rosdy, adalah mengikut kapasiti ruang solat dengan penjarakan fizikal yang perlu dikawal oleh pengurusan masjid dan surau, selain aktiviti berkumpul selepas solat tarawih tidak dibenarkan.

Bagi program berbuka puasa dan moreh, Wan Rosdy berkata pengurusan masjid dan surau perlu menyediakan makanan secara berbungkus dengan jemaah hanya dibenarkan membawa pulang makanan berat selepas berbuka jika ada dan juadah moreh.

“Aktiviti sahur hanya dibenarkan pada 10 malam terakhir dengan syarat makanan juga secara berbungkus. Aktiviti penyediaan makanan untuk iftar, moreh dan sahur secara bergotong-royong di masjid dan surau tidak dibenarkan,” katanya.

Wan Rosdy berkata pihak berkaitan juga akan membuat pemantauan secara mengejut dan masjid atau surau yang didapati melanggar SOP selain berlaku penularan COVID-19 akan dikenakan tindakan pembatalan kebenaran mengadakan aktiviti Ramadan.

Arahan pembatalan kebenaran juga terpakai jika masjid atau surau gagal mengawal jumlah jemaah atau melakukan aktiviti di luar waktu dibenarkan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.