Ketika Industri Semikonduktor Untung Mencanak, PN Jual Silterra… Tak Masuk Akal – Najib

KUALA LUMPUR, 6 April – Penjualan syarikat semikonduktor, Silterra Malaysia Sdn Bhd oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah tindakan yang tidak masuk akal, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jelas Ahli Parlimen Pekan itu, penjualan tersebut sengat merugikan negara kerana ketika ini industri tersebut mencatatkan keuntungan memberangsangkan ekoran pandemik COVID-19 yang mendorong pendekatan kerja dari rumah dan amalan pembelian e-dagang.

“Media melaporkan penjualan industri semikonduktor dunia naik 14.7 peratus pada bulan Februari ke US$39.6 bilion (RM164b) dari US$34.5 bilion pada bulan yang sama tahun lepas.

“Tapi bulan Februari juga yang kerajaan PN jualkan sepenuhnya kilang semikonduktor terbesar milik Malaysia kepada syarikat milik 60-40 peratus Malaysia dan China dengan harga cuma RM273 juta,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambahnya lagi, pada era pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melabur sebanyak RM5 bilion untuk mewujudkan Siltera namun mencatatkan kerugian saban tahun.

Ulas Najib, namun sebaliknya ketika beliau menjawat jawatan nombor satu negara, beliau berjaya memulihkan syarikat berkenaan dengan keuntungan berjumlah pendapatan RM1.9 bilion dan keuntungan bersih hampir RM700 juta dalam tempoh 4 tahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

“Lalu dijualkan sepenuhnya kerajaan PN selepas darurat dilaksanakan dan pada ketika industri semikonduktor mencanak naik dengan harga cuma RM273 juta, langsung tak masuk akal.

“Nak beri peluang kepada pihak swasta untuk mengurus pun, Khazanah tak perlu jual 100% kepentingan tapi boleh simpan kepentingan 30% atau 40% dengan pegangan majoriti diberi kepada pihak swasta. Amat rugi bagi Khazanah dan negara.

“Sehingga kini, kerajaan PN tak pernah memberi penjelasan kenapa kepentingan 100% Silterra dijual dengan harga begitu murah itu,” tegasnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.