Semua Pelajar Kembali Bersekolah… Kenapa Dewan Rakyat Masih Dibelenggu? Soal Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 5 April – Mengapa sidang Dewan Rakyat masih dibelenggu sedangkan rakyat hampir bebas semuanya waima sekolah telahpun dibuka sepenuhnya, soal Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ciapnya di Twitter, ini kerana bermula hari ini semua pelajar di semua peringkat telah kembali ke sekolah memulakan pembelajaran secara bersemuka.

“Semua pelajar sudah kembali ke sekolah tadika, rendah dan menengah. Termasuklan anak dan cucu-cucu saya. Hidup kembali kepada suasana biasa namun mesti ikut SOP (prosedur operasi standard).

“Yang luar biasa hanya Parlimen. Walau semua rakyat sudah hampir bebas, Dewan Rakyat masih dibelenggu. Mengapa, apa sebab, ‘why’,” soalnya.

Terdahulu di platform media sosial yang sama, Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata dalam sehari ratusan atau ribuan pelajar serta tenaga pengajar berada dalam enam ke lapan jam tempoh keberadaan di sesebuah sekolah.

“Harap jaga SOP dengan ketat. Kerajaan sedar berkumpul di sekolah sudah bukan jadi masalah ketika COVID-19.

“Kemudian nanti sekolah akan jadi pusat mengundi. Kenapa Parlimen masih tutup?” twitnya.

Semalam, pelajar Sekolah Menengah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu telah memulakan sesi persekolahan manakala di negeri lain dibuka hari ini.

Sebelum ini sesi persekolahan bagi sekolah rendah, kolej vokasional dan sekolah antarabangsa serta institusi pendidikan swasta kategori pusat yang tidak menawarkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan peperiksaan umum masing-masing dibuka pada 1 dan 8 Mac lalu.

Berhubung dengan sidang Parlimen, pada 3 Mac lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan kerajaan memutuskan bahawa masih tiada lagi keperluan ia diadakan ketika tempoh darurat (11 Jan 2021 hingga 1 Ogos 2021) atas alasan perundangan serta analisis data dan sains mengenai kekhuatiran penularan COVID-19 di dalam bangunan Parlimen.

Sebagai rekod juga, pada 24 Feb lalu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata perkara itu termaktub dalam subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Ahmad Fadil berkata tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.