Rangkaian Gentian Optik Oleh TNB-Allo Technology Lonjak Potensi Capaian Internet – Mahdzir

MELAKA, 5 April – Rangkaian gentian optik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi syarikat subsidiarinya Allo Technology Sdn Bhd (Allo) berjaya melonjakan potensi capaian perkhidmatan Internet jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) hingga 1Gbps di negeri ini.

Pengerusi TNB Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sebagai negeri pertama yang mendapat infrastruktur tersebut, ia menjadi platform terbaik dalam usaha Melaka merapatkan jurang digital di kawasan bandar dan luar bandar dengan perkhidmatan yang lebih pantas dan diyakini.

“Kejayaan ini adalah susulan daripada projek rintis rangkaian infrastruktur jalur lebar di Jasin yang dimulakan pada Januari 2019 yang menghubungkan 1,100 kediaman.

“Terbaharu, kawasan yang mendapat faedah infrastruktur ini adalah Alor Gajah (8,500 kediaman), Malim Jaya (4,400), Ayer Keroh (500) dan di sekitar Jasin (2,500), dengan jumlah keseluruhan 17,000 kediaman,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Rangkaian Infrastruktur Gentian Optik Jalur Lebar Allo Technology peringkat negeri Melaka bagi menyokong Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di sini hari ini.

Majlis perasmian itu yang turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Baharin Din, disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Menerusi kemudahan infrastruktur gentian optik ini, Mahdzir berkata ia akan memberi peluang kepada lebih ramai penduduk Melaka mendapat akses kepada Internet jalur lebar khususnya dalam dunia digital masa kini dengan harga berpatutan.

Tambahnya, dengan tersedianya infrastruktur gentian optik ini, Allo Technology sebagai penyedia akses terbuka berjaya meluaskan potensi capaian Internet jalur lebar berkelajuan tinggi di Melaka yang kini disediakan oleh pembekal perkhidmatan runcit (RSP) seperti Maxis, Digi dan Celcom.

“Kita tidak ‘bertanding’ dengan TM (Telekom Malaysia) tetapi lebih kepada ‘compliment to each other’. Kita fokus kepada kawasan yang tiada liputan terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Ini kerana kita mempunyai kemampuan dari segi infrastruktur memandangkan rata-rata tempat di dalam negara ini sudah mempunyai bekalan elektrik dan ini sekali gus dapat merapatkan jurang digital di kawasan bandar dan luar bandar di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Sulaiman berkata kemudahan Internet kini menjadi utiliti asas ketiga yang menjadi kayu pengukur tahap pembangunan dan kemajuan sesuatu lokasi selepas elektrik dan bekalan air malah ia bukan lagi hanya untuk orang bandar atau golongan berada, sebaliknya merupakan satu keperluan untuk segenap lapisan masyarakat.

Lebih-lebih lagi katanya, keperluan tersebut menjadi semakin penting sejak berlaku pandemik COVID-19 apabila hampir semua perkhidmatan seperti pendidikan, pembelian barangan, pengangkutan awam serta pesanan makanan dijalankan secara maya atau dalam talian, yang memerlukan kemudahan akses Internet yang pantas.

“Kesannya, permintaan terhadap perkhidmatan Internet telah meningkat secara mendadak. Jadi, kemudahan disediakan Allo Technology ini tepat pada waktunya dalam membolehkan rakyat mendapat akses dengan cepat, cekap dan efisien kepada maklumat-maklumat penting pelaksanaan grid pintar,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.