Kerajaan Takut Pada Undi 18? Jangan Ada Alasan, Laksanakan Segera – Zahida

KUALA LUMPUR, 5 April – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan tegas menyatakan bahawa Undi 18 harus disegerakan setelah banyak negara di dunia telah mengamalkannya bahkan Indonesia menetapkan umur layak mengundi ialah 17 tahun.

Menurutnya, pengubahsuaian kepada Undi 18 bermula pada tahun 1940-an lagi dan berkemuncak pada pengakhiran tahun 1990.

Jelas Zahida lagi, kerajaan hari ini sepatutnya akur apabila pindaan Perlembagaan bagi Undi 18 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat secara bipartisan atau sebulat suara (tiada yang membantah) pada 16 Julai 2019 serta di Dewan Negara pada 25 Julai 2019 dan ini bermakna termasuk mereka di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang.

“Pada Januari, 2020 kita telah mendapat pengiktirafan daripada United Nations melalui Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) yang telah bersetuju untuk menanggung sebahagian kos di dalam mengimplitasi Undi 18 ini.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika itu telah memberi ‘timeline’ (garis masa) untuk merealisasi Undi 18 ini pada 1 Julai 2021, dengan mengambil masa selama dua tahun untuk mereka menyediakan infrastrukturnya bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“’Timeline’ ini disokong oleh menteri-menteri PN seperti Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Datuk Mohd. Radzi Md. Jidin, Datuk Liew Vui Keong dan ramai lagi menteri-menteri PN ketika itu. Sekarang apa jadi? Hampir kesemua menteri PN telah mengeluarkan kenyataan yang bertentangan,” bidasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya lagi, Pengerusi SPR pada akhir-akhir ini telah menyatakan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang ini, Undi 18 tidak dapat dilaksanakan seperti yang telah dijadualkan iaitu 1 Julai 2021.

“Mengapa? Adakah mereka takut 7.8 juta pengundi-pengundi muda ini tidak memihakkan kepada mereka?

“Begitulah licik tindakan kerajaan PN sekarang yang akan berbuat apa sahaja yang boleh memihakkan kepada mereka,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Zahida berkata seperti di dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO tempoh hari menegaskan bahawa parti mendokong perubahan yang berlaku bagi meletakkan peranan besar orang muda dalam mencorakkan masa depan negara.

“Ini termasuk Undi 18 dan pendaftaran automatik untuk mereka. Tidak ada pandang belakang atas keputusan yang telah dibuat.

“Sepatutnya tidak ada alasan untuk melengahkan perlaksanaanya. Jika ada yang berkata mereka tidak cukup matang untuk memikul tanggungjawab ini, maka kita tuntut kerajaan segera melaksanakan langkah drastik untuk mematangkan mereka dalam tempoh yang terdekat. “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”,” ujarnya.

Justeru itu tegasnya, UMNO tetap dengan pendirian menentang mereka berhabis-habisan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti walaupun dengan ketiadaan pengundi-pengundi muda ini.

“Saya tetap berjanji akan terus berjuang untuk memastikan hak pengundi muda dalam menentukan siapa kerajaan yang layak mentadbir negara.

“Saya menyeru adik-adik pengundi Undi 18 ini agar bersama-sama saya mendesak kerajaan untuk menjayakan Undi 18 ini seperti yang dijadualkan iaitu 1 Julai 2021.

“Anak muda adalah penyambung kepimpinan negara,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.